Sarong Music Run 2025: PM Sertai Lebih 10,000 Rakyat Berbilang Kaum 

9 Feb 2025 • 4:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia supaya mengambil berat tentang kesihatan dan mendoakan keamanan negara apabila melancarkan acara Malaysia Sarong Music Run 2025, di Menara Berkembar Petronas, di ibu negara semalam.

image is not available

Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menyeru agar semua peserta menggunakan acara itu sebagai satu medium untuk memupuk semangat muhibah dan persahabatan, serta menyelami budaya pemakaian sarung.

“Budaya berkain sarung terkenal di rantau Melayu. Jadi, ya, jika anda mempunyai sarung pakailah. Jika tidak, tidak perlu, yang penting semangat,” ujar Anwar sambil turut menyarung kain pelikat, antara kain sarung yang cukup terkenal di rantau ini. 

image is not available

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri  Tiong King Sing, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Malaysia Sarong Music Run 2025 yang julung-julung kali diadakan ini berbeza dengan acara lain kerana ia turut mengintegrasikan elemen budaya sepanjang laluan larian, memberikan peserta pengalaman menyelami tradisi Malaysia dengan lebih mendalam. 

Antara intipati utama acara ini ialah:

  • *Sarong sebagai simbol perpaduan dan warisan di mana peserta digalakkan mengenakan sarong tradisional, mencerminkan identiti budaya Malaysia yang pelbagai tetapi bersatu hati
  • *Hentian budaya yang menampilkan tarian singa, caklempong, kompang, bhangra dan dhol, serta pelbagai persembahan tradisional lain yang menghidupkan warisan Malaysia sepanjang laluan larian.
  • *Permainan tradisional dan pameran warisan membawakan aktiviti interaktif seperti congkak, gasing, batu seremban, serta pameran seni dan kraf Malaysia.
  • *Pameran sajian warisan memberi peluang peserta untuk mencuba hidangan istimewa dari pelbagai negeri di Malaysia
  • *Platform untuk bakat tempatan. Sesuai dengan nama acara ini, pada penghujung acara, ia dimeriahkan dengan konsert menampilkan artis tempatan seperti IamNeeta, Cherpen dan Sixth Sense.

Acara ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), bersama Malaysia Marathon sebagai penganjur bersama serta SCORE Sports Management sebagai rakan teknikal.

image is not available

LOCCO, yang terkenal dengan acara Keretapi Sarong turut bersama dalam memastikan sambutan budaya ini berjalan dengan penuh elemen kebudayaan dan warisan negara. - Getaran, 9 Februari 2025

Foto : LOCCO