
SEMPENA Hari Pencegahan Eksploitasi Persekitaran yang disambut hari ini, rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, perlu mengambil cakna terhadap kemusnahan alam sekitar akibat peperangan dan konflik, terutama yang sedang berlaku di Palestin.
Antara pendekatannya adalah melalui sastera. Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Mahmudul Hasan, sastera pernah menjadi medium penyebaran nilai kolonialisme di wilayah jajahan British seperti India dan Tanah Melayu. Hakikat ini memperlihatkan kekuatan karya sastera dalam membentuk pemikiran serta menyampaikan realiti kehidupan sesuatu masyarakat.
Perkara tersebut turut dapat dilihat menerusi dua novel penulis Palestin, Susan Abulhawa dan Adania Shibli, masing-masing berjudul The Blue Between Sky and Water (2015) dan Minor Detail (2020). Kedua-duanya mengetengahkan kemusnahan persekitaran serta kesannya terhadap kehidupan masyarakat, khususnya generasi muda.
Kemusnahan kediaman, infrastruktur dan kemudahan awam bukan sahaja melumpuhkan ekonomi, malah merampas peluang anak muda Palestin menikmati kehidupan seperti rakan sebaya di Malaysia. Mereka kehilangan ruang untuk belajar, bekerja dan membina masa depan dalam keadaan yang lebih terjamin.
Situasi ini boleh difahami menerusi gagasan subaltern subjects yang diketengahkan Gayatri Chakravorty Spivak dalam karyanya, Can the Subaltern Speak? Konsep tersebut merujuk kepada kelompok terpinggir yang tidak mempunyai suara atau kedudukan dalam struktur kuasa.
Dalam konteks Palestin, golongan muda turut terperangkap dalam keadaan yang menyukarkan mereka menyuarakan nasib serta menentukan kehidupan sendiri.
Kesan kemusnahan persekitaran turut menjejaskan peluang pekerjaan. Infrastruktur ekonomi yang rosak menyebabkan mereka sukar mendapatkan pekerjaan bersesuaian, malah terpaksa menerima apa sahaja peluang demi memenuhi keperluan asas.
Lebih menyedihkan, keselamatan nyawa sentiasa terancam akibat serangan tentera Israel.
Berdasarkan data Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA), kadar pengangguran di Palestin mencecah 64 peratus. Mereka bukan sahaja berhadapan ancaman kematian akibat keganasan, tetapi turut menanggung tekanan hidup berpanjangan
Keadaan ini memperlihatkan penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar kehilangan nyawa dan kemusnahan fizikal, malah turut merangkumi kemusnahan peluang serta masa depan generasi muda.
Justeru, sastera Palestin wajar diketengahkan sebagai bahan pembelajaran untuk membantu pelajar memahami hubungan antara eksploitasi persekitaran, konflik dan penderitaan manusia.
Melalui karya tersebut, generasi muda bukan sahaja dapat mengenali realiti kehidupan rakyat Palestin, malah membina empati terhadap sesama manusia serta meningkatkan tanggungjawab memelihara alam sekitar. –UTUSAN
ABDUL HALIM AYOB
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
The post Sastera buka mata terhadap derita Palestin appeared first on Utusan Malaysia.






