“Satu amaran keras” – Pukul Lelaki OKU, G57 Bersedia Bantu Keluarga Saman RM1 Juta

LocalPolitics
19 Jan 2025 • 5:37 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Terdahulu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden menyayat hati melibatkan seorang lelaki, juga orang kurang upaya (OKU) mental yang telah dipukul dengan teruk di sebuah pasar tani di Chukai, Terengganu.

Rentetan peristiwa yang belarku Jumaat lalu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bersedia untuk menyaman individu yang bertanggungjawab memukul OKU tersebut sebanyak RM1 juta sebagai satu bentuk amaran keras terhadap sebarang bentuk penindasan terhadap golongan OKU.

Menurut pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, saman tersebut adalah sangat bertepatan dengan nilai yang perlu dibayar oleh kumpulan tersebut kerana bertindak di luar batasan undang-undang, lapor Berita Harian.

image is not available
Tangkap layar yang memaparkan lelaki OKU terbaring selepas dipukul beberapa individu di pasar tani.

“Kumpulan peguam kami akan menghubungi keluarga lelaki berkenaan bagi berbincang dan berharap mereka bersetuju untuk memulakan proses saman,” katanya.

Dalam masa yang sama, G57 juga bersedia untuk membayar sebarang ganti rugi kepada peniaga yang terjejas akibat kesilapan yang dilakukan lelaki berkenaan.

Tambah Zulkarnain, G57 juga berharap agar keluarga lelaki OKU berkenaan tidak menarik balik laporan polis walaupun selepas pelbagai usaha memujuk dilakukan.

“Kita menentang kekejaman Israel, tetapi pada masa sama kejadian menimpa lelaki OKU itu jelas menggambarkan perilaku yang serupa dengan kekejaman negara haram itu.

“Saya ingin mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak dwi standard dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan,” katanya.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.