Satu slot separuh akhir Seluruh England milik Malaysia

6 Mar 2026 • 8:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka menjadi sandaran utama ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini sekiranya BAM menetapkan sasaran memburu pingat emas.

MALAYSIA sudah mengesahkan sekurang-kurangnya satu slot ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2026.

Kejayaan itu hadir selepas beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berentap sesama sendiri menentang rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir di Birmingham pada Jumaat.

Pada aksi pusingan kedua di Utilita Arena Birmingham itu, Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan kedua kejohanan terpaksa bermandi peluh sebelum menundukkan cabaran sengit rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

Wei Chong-Kai Wun pula menempah tiket ke kelompok lapan terbaik selepas menyingkirkan beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin, 21-14, 21-18.

Turut mara ke suku akhir ialah pasangan beregu wanita nombor satu negara yang juga pilihan kedua kejohanan, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya menewaskan wakil Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo, 21-14, 21-14 dalam aksi selama 43 minit.

Menanti Pearly-Thinaah dalam perebutan tiket ke separuh akhir ialah gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Dalam pada itu, langkah beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan juara remaja dunia 2024, Kang Khai Xing-Aaron Tai terhenti di pusingan kedua.

Sze Fei-Izzuddin terpaksa akur tewas 21-23, 16-21 kepada gandingan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat.

Khai Xing-Aaron Tai pula memberikan tentangan sengit sebelum tewas 19-21, 17-21 di tangan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi.

Turut terkandas ialah perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao serta pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tewas kepada lawan masing-masing.

Jun Hao tumbang 9-21, 13-21 kepada bintang Jepun, Koki Watanabe, manakala Soon Huat-Shevon disingkirkan oleh pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 16-21, 18-21.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved