
PAPAR: Golongan muda digesa membuat pilihan tepat pada pilihan raya negeri ini kerana satu undi mampu mengubah halatuju Sabah, khususnya kawasan Pantai Manis.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pantai Manis, Datuk Pg Saifuddin Pg Tahir Petra, berkata setiap pengundi harus menunaikan tanggungjawab pada 29 Nov nanti.
“Satu undi mampu mengubah halatuju negeri dan kawasan Pantai Manis, tetapi mengambil masa lima tahun untuk diperbetulkan jika tersilap pilih,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Calon GRS di Kg Laut, Selasa.
Pg Saifuddin, atau lebih dikenali sebagai Ngian, turut menyeru rakyat mengekalkan kerajaan GRS bagi memastikan kesinambungan pelaburan, pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.
“Saya merayu sokongan keluarga, saudara-mara, sahabat serta pengundi setempat agar terus mengekalkan kerajaan GRS demi pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya.
Beliau turut berkongsi perjalanan karier politiknya dan menyatakan keyakinan bahawa penduduk Kg Laut akan terus memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Sementara itu, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail, menggesa penduduk Kg Laut memberikan sokongan kepada Pg Saifuddin dalam usaha merampas kembali kerusi Pantai Manis.
Lebih 300 penduduk Kg Laut hadir pada majlis itu yang diserikan dengan laungan “Rumah Kita, Kita Jaga”.




