
PENAMPANG: Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) menafikan spekulasi bahawa beliau akan bertanding mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Pantai Manis pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Timbalan Setiausaha Agung GRS berkata beliau langsung tidak berhajat untuk bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sebaliknya hanya akan menumpukan kepada tanggungjawab sedia ada.
“Mengenai isu ini saya sebenarnya sudah jawab lama sebelum ini bahawa saya tidak berhajat untuk bertanding di kerusi Dun termasuk Pantai Manis.
“Saya fikir tanggungjawab sedia ketika ini pun sudah cukup besar dan mencabar,” katanya menolak spekulasi itu yang kini ‘bertiup kencang’ dalam kalangan warga Papar pada masa ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media sempena Program ‘My Gaya Sabah 2025’ anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di ITCC pada Sabtu.
Armizan yang juga Menteri KPDN berkata beliau berharap selepas PRN17 kerusi Pantai Manis akan diwakili wakil rakyat GRS seterusnya memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihaknya.
Katanya Parlimen Papar mempunyai tiga kawasan Dun iaitu Pantai Manis, Limbahau dan Kawang justeru kolaborasi yang baik antara wakil rakyat GRS ini nanti akan membentuk pasukan mantap untuk pembangunan di kawasan.
“Saya mengharapkan ada satu wakil Pantai Manis pastinya daripada GRS yang boleh saya bekerjasama rapat nanti kerana insha Allah kita juga akan ada wakil rakyat Kawang dan Limbahau nanti.
“Ini akan menjadikan kita sebagai sebuah pasukan mantap dan terbaik untuk membawa perubahan lebih bernilai serta bermakna di kawasan masing-masing khususnya Parlimen Papar,” katanya.


