SAY Aspire 2026: RHJ Tijarah juara, sasar pasaran global

LocalStartup
2 Sep 2026 • 6:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SAY Aspire 2026: RHJ Tijarah juara, sasar pasaran global

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Pengalaman mengerjakan ibadah haji dan umrah mendorong RHJ Tijarah Sdn Bhd menghasilkan rangkaian produk penjagaan kulit khusus untuk jemaah, sekali gus membawa syarikat itu muncul juara Program Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire edisi ketujuh, hari ini.

Pengarah Urusan RHJ Tijarah Sdn Bhd Siti Hajar Harun berkata produk berkenaan dibangunkan berdasarkan pengalamannya sendiri yang berdepan masalah kulit kering dan terbakar ketika berada di Tanah Suci.

Image from: SAY Aspire 2026: RHJ Tijarah juara, sasar pasaran global
Pengurus Urusan RHJ TIJARAH SDN BHD, Siti Hajar Harun bercakap kepada media selepas SAY ASPIRE Edisi ke-7 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 2 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Saya mulakan perniagaan berdasarkan pengalaman mengerjakan umrah dan haji. Produk ada di pasaran menjadikan kulit kering dan terbakar, tak membantu melindungi kulit.

“Kajian untuk mendapatkan formulasi yang sesuai hampir dua tahun… kita pergi balik ke Tanah Suci dan cuba sendiri bagi melihat kesesuaian dengan kulit,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Siti Hajar menerima hadiah dan trofi yang disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada majlis SAY Aspire di Hotel Sunway Resort, di sini.

Image from: SAY Aspire 2026: RHJ Tijarah juara, sasar pasaran global
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama pemenang dan peserta SAY ASPIRE Edisi ke-7 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 2 September 2026. Turut sama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Baginda turut menyampaikan hadiah kepada Hokido Shop Enterprise yang menduduki tempat kedua, Dataverse Sdn Bhd (ketiga), Nutrivera Manufacturing Sdn Bhd (keempat) dan Go Advanced Sdn Bhd (kelima).

Mengulas kejayaan lima usahawan terbaik edisi kali ini, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata kesemua mereka mempunyai potensi untuk berkembang, termasuk dalam segmen perkhidmatan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, pemenang bukan sahaja menerima pengiktirafan, malah diberi peluang meneroka pasaran global menerusi insentif berbentuk program pembangunan serta akses kepada peluang eksport.

Image from: SAY Aspire 2026: RHJ Tijarah juara, sasar pasaran global
EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas SAY ASPIRE Edisi ke-7 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 2 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kelima-lima produk ini berpotensi dan mempunyai kekuatan tersendiri. Mereka akan mendapat insentif daripada pihak SAY berupa program atau peluang untuk meneroka pasaran-pasaran global untuk eksport produk mereka.

“Ini sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri menerusi SAY untuk kita mengenengahkan usahawan-usahawan yang berpotensi dan kita bantu daripada segi latihan dan juga memberikan mereka ruang untuk didedahkan bagaimana untuk memasarkan atau eksportkan produk-produk mereka,” katanya.

Najwan berkata kejayaan peserta terdahulu turut menunjukkan program itu mampu membantu usahawan berkembang ke peringkat lebih tinggi, bukan sekadar mengejar kemenangan dalam pertandingan.

“Alhamdulillah kalau kita lihat daripada segi testimoni usahawan-usahawan yang pernah terlibat dalam program SAY ini mereka rata-rata telah pergi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ini antara cerita kejayaan peserta yang mendapat peluang menerusi program SAY, bukan sekadar dinobatkan sebagai juara tetapi pada masa sama diberi ruang yang besar untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Image from: SAY Aspire 2026: RHJ Tijarah juara, sasar pasaran global
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat reruai pameran ketika SAY ASPIRE Edisi ke-7 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 2 September 2026. Turut sama EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

SAY Aspire merupakan program pembangunan usahawan belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global menerusi kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.

Dianjurkan sejak 2017, program itu terbuka kepada syarikat yang beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berusia antara 18 hingga 40 tahun serta tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved