‘Saya ada pas, kenapa halang saya masuk?’

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 8:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Saya ada pas, kenapa halang saya masuk?’

ALOR GAJAH: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berang selepas dihalang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada memasuki Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, semalam.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat hadir bagi me­ngiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan, Datuk Abu Hakim Abdul Wahid, untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, tindakan petugas SPR menghalang beliau daripada memasuki PPC itu mencetuskan pertikaman lidah antara Tok Mat dan pegawai terbabit.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, Mohamad mem­persoalkan tindakan itu meman­dangkan beliau mempunyai pas yang dikeluarkan SPR.

“Tok Mat mempersoalkan ke­­napa beliau tidak dibenarkan ma­suk sedangkan beliau mempunyai pas SPR.

“Beliau turut bertanya, apa gunanya pas tersebut jika beliau tetap tidak dibenarkan memasuki PPC,” katanya di sini semalam.

Menurut saksi itu, pegawai ter­babit kemudiannya menjelaskan bahawa kehadiran Mohamad dianggap melebihi kuota individu yang dibenarkan memasuki PPC bersama calon.

Kata petugas itu, mengikut ketetapan proses penamaan calon, selain calon, hanya pencadang dan penyokong dibenarkan ma­suk ke dalam pusat berkenaan.

Situasi itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah seketika antara Mohamad dan petugas ter­babit sebelum Timbalan Presi­den UMNO itu mengambil keputusan untuk meninggalkan lokasi ber­kenaan.

Kejadian tersebut menarik perhatian petugas parti dan orang ramai yang berada di sekitar Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, namun keadaan dilaporkan kembali terkawal selepas Mohamad beredar.

Proses penamaan calon bagi kerusi DUN Lendu diteruskan seper­ti biasa apabila Abu Hakim akan berdepan satu lawan satu menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nazri Ramli. – UTUSAN

The post ‘Saya ada pas, kenapa halang saya masuk?’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved