Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang pekerja pembersihan maut selepas digilis lori yang dipandu oleh rakan sekerjanya sendiri dalam satu kejadian tragis di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah sekitar jam 11 pagi Selasa.
Mangsa, Mohamad Zaidi Ibrahim, 45, dipercayai sedang bertugas melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal sebelum dikatakan terjatuh dari tempatnya berdiri di atas lori berkenaan. Kenderaan tersebut difahamkan baharu sahaja berhenti untuk mengutip sampah dari rumah berdekatan, sebelum mangsa terjatuh dan digilis sebaik sahaja lori itu mula bergerak.
Artikel berkaitan: Ibu Maut Dig*lis, Motosikal Ditunggang Anak Gagal Mencelah Antara 2 Lori
Artikel berkaitan: “Ada yang tak putus asa mengajar rakan mengucap walaupun tahu sudah meninggal dunia” – Saksi Kemalangan Bas UPSI
Seorang saksi kejadian, Azizan Ishak, 65, menceritakan detik hiba apabila dia terdengar dentuman kuat sewaktu baharu pulang beriadah sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang hanya terletak beberapa buah rumah dari kedudukannya.
“Saya baru balik ‘jogging’ tiba-tiba terdengar bunyi kuat, saya pergi tengok, sudah terbaring kat situ, nak tarik tak boleh sebab ‘lekat’ jadi saya panggil seorang lagi jiran, kami ajarkan dia mengucap,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah mengesahkan sepasukan lima anggota telah digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi.
Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati mangsa berada di bawah lori sampah berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Pasukan bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian selepas mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



