KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’ selepas ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, istilah rumah baharu itu tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu, sebaliknya mungkin menyertai parti lama sama da mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.
"Saya akan ada rumah baharu, ia boleh jadi parti baharu ataupun lama tetapi yang penting, rumah baharu.
"Begitu juga dengan dakwaan bahawa saya akan mengambil alih BERJASA.
"Kalau khabar angin itu jadi betul, betullah. Tapi kalau khabar angin itu hanya lepas begitu saja, tidaklah. Ada kemungkinan (benar) dan juga ada kemungkinan tidak kerana ada pilihan lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di majlis taklimat ‘Reset Politik’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini pada Sabtu.
Hamzah bagaimanapun menjelaskan sebarang keputusan berhubung perkara itu akan dilakukan secara kesepakatan bersama pemimpin lain yang turut dipecat Bersatu.
Sementara itu, beliau turut menegaskan tidak akan merayu selepas dipecat daripada parti itu pada Jumaat.
Ujarnya, beliau kini adalah Ahli Parlimen Bebas dan tidak mahu mendengar segala perkara yang terpaksa dilakukan tanpa kerelaan hatinya dalam Bersatu.
"Tidak payah lagi saya dengar perkara yang mungkin terpaksa saya lakukan tanpa kerelaan hati.
"Kalau diarah untuk melakukan sesuatu yang saya tidak ingini, susahlah saya. Lebih baik saya jadi Ahli Parlimen Bebas," katanya yang tidak menetapkan tempoh khusus berhubung hala tuju terbaharunya.
Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menasihatinya agar terus tenang menghadapi sebarang kemungkinan, dalam pertemuan mereka di Rusila, Terengganu, pada Jumaat.
Selain itu jelasnya, Abdul Hadi turut bertanyakan jumlah Ahli Parlimen yang kini bersamanya.
"Setakat ini, termasuk saya sendiri, sudah diumumkan 19 daripada 25 Ahli Parlimen bersama pihak saya. Itu menunjukkan majoriti," katanya.
