Saya akan lindungi penjawat awam yang berdepan tekanan politik – Ahmad Zahid

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 12:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya akan lindungi penjawat awam yang berdepan tekanan politik – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melindungi mana-mana penjawat awam daripada sebarang tekanan susulan pertembungan politik semasa.

Beliau berkata, penjawat awam perlu terus melaksanakan amanah mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul tanpa mencampuradukkan urusan politik dengan pentadbiran kerajaan.

Tanpa menamakan pihak yang cuba memberi tekanan kepada penjawat awam itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam memastikan kakitangan kerajaan terus menjalankan tugas secara profesional.

“Saya juga tahu ada dalam kalangan anda yang mungkin telah dipanggil, berdepan tekanan susulan pertembungan politik ini tetapi percayalah selagi mana saya memegang amanah sebagai Menteri, setiap pegawai kementerian akan saya lindungi.

“Teruskan berkhidmat dan laksanakan tanggungjawab yang diberikan mengikut peraturan serta saluran perundangan yang betul.

“Tetapi percayalah, selagi saya berada di sini memegang amanah sebagai Menteri KKDW, saya beri jaminan setiap pegawai kementerian saya akan saya lindungi!.

“Saya lindungi kerana saya tidak mahu pegawai-pegawai saya ini terlibat di dalam politik. Tetapi menghadiri majlis tidak bererti mereka terlibat di dalam politik. Ini harus dibezakan oleh ketua yang atas di sana. Tak tahu siapa namanya, tetapi fahamilah perkara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, hari ini.

Katanya, beliau bersedia berdepan sebarang tindakan pihak tertentu yang cuba mengganggu tugas penjawat awam, namun menegaskan semua tindakan perlu dibuat berdasarkan peraturan.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menamakan pihak yang didakwa memberi tekanan kepada penjawat awam, sebaliknya hanya menyebut ia dilakukan oleh pihak yang mempunyai kedudukan tinggi.

Jelasnya lagi, persaingan politik di peringkat negeri tidak seharusnya menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan Persekutuan selagi Parlimen belum dibubarkan.

“Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk berasaskan suatu persefahaman dan perjanjian yang jelas untuk ia kekal sehingga Parlimen dibubarkan.

“Selagi tiada pembubaran berlaku, kerajaan Persekutuan akan terus berfungsi, pentadbiran diteruskan dan setiap amanah kepada rakyat akan dilaksanakan seperti biasa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, penjawat awam perlu memahami perkembangan politik dan konteks pembentukan dasar kerajaan, namun tidak boleh terheret dalam politik kepartian.

Beliau berkata, garis pemisah antara politik dan pentadbiran perlu jelas bagi memastikan profesionalisme penjawat awam terus terpelihara.

“Di negeri boleh kita berbeza pendapat. Tetapi apabila kita melaksanakan pentadbiran di peringkat pusat, kita mesti tidak ada perbezaan,” katanya.-UTUSAN

The post Saya akan lindungi penjawat awam yang berdepan tekanan politik – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved