
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini kepada mana-mana pihak pada pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu telah ditetapkan bagi memastikan kerusi yang menjadi milik BN berdasarkan mandat rakyat terus dipertahankan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, BN ketika ini memegang 21 kerusi dan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri telah menyatakan komitmen untuk mempertahankan semua kerusi berkenaan.
“Kita telah menetapkan bahawa kerusi yang kita menang, kita tidak akan pernah berkongsi kerusi itu dengan mana-mana pihak.
“Daripada 21 kerusi, daripada 28 kerusi di Melaka, maka Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Negeri Melaka telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, sebarang perbincangan berkaitan pembahagian kerusi antara parti yang terlibat masih terbuka untuk dibincangkan menerusi mesyuarat akan datang.
Menurut beliau, Ketua Menteri Melaka menunjukkan sikap terbuka dan rundingan perlu dilakukan antara semua pihak bagi mencapai persefahaman terbaik. – KOSMO! ONLINE
The post Kerusi dimenangi BN di Melaka kekal milik BN – Ahmad Zahid appeared first on Kosmo Digital.






