
KUANTAN – “Saya tidak nafikan media kadangkala mengusik kerajaan negeri tetapi anggapan saya cuma ia nak bagi geli-geli, saya sikit pun tidak berasa hati.”
Demikian respons Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekali gus menunjukkan sikap profesional kerajaan negeri yang sentiasa terbuka menerima teguran dalam usaha memastikan kebajikan rakyat di negeri itu sentiasa menjadi keutamaan.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa menerima pandangan dan teguran yang membina bagi memastikan masyarakat di negeri ini sentiasa terbela dan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar demi kebaikan rakyat.
“Ini (laporan isu rakyat) perkara biasa dan saya sedikit pun tidak berasa hati, sebagai media, kalau melaporkan satu hala je, boring juga. Jadi sekali-sekala media kena usik-usik kerajaan negeri, tak apa, teruskan, tidak ada masalah bagi saya.
“Sebab bagi saya, apa yang saya buat itu dengan penuh keikhlasan dan untuk negeri Pahang, itu bagi saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Media Makmur 2026 di sini, malam tadi.
Menurut Wan Rosdy hubungan antara kerajaan negeri dan semua pihak media di negeri ini adalah baik meskipun terdapat juga berita yang tidak berapa menyelebihi kerajaan negeri.
Katanya apa yang penting ialah 80 peratus hingga 90 peratus yang dilaporkan media itu adalah berita yang baik dan benar untuk negeri Pahang.
“Sedikit-sedikit apa yang berlaku masam-masam manis itu perkara biasa. Yalah, takkan bila saya baca berita-berita yang terkeluar melalui media yang menyentuh kerajaan negeri, kalau benda itu tak berapa pun takkan saya nak senyum juga. Rasa juga tetapi tidaklah berpanjangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Saya anggap nak bagi geli-geli sahaja – Wan Rosdy appeared first on Kosmo Online.






