Saya fikir dia tak pernah penat. Tak pernah mengeluh. Tak pernah rasa lemah macam saya sekarang. Saya fikir mak saya superwoman.
Dia selalu nampak tabah.
Dia selalu senyum walau mata letih.
Dia selalu cakap, "Tak apa. Nanti okay."
Dan saya percaya.
Tapi sebenarnya…
Mak saya dah letih — sejak saya lahir.
Dia letih masa bersalin.
Dia letih masa berjaga malam sambil pegang badan kecil saya yang menangis tak henti.
Dia letih bila duit tak cukup, tapi masih beri saya makanan paling banyak.
Dia letih bangun awal pagi — bukan untuk diri sendiri, tapi untuk orang lain. Untuk kami, anak-anaknya.
Dia letih, tapi tak pernah tunjuk.
Dia penat, tapi masih masak.
Dia sakit, tapi diam.
Sebab dia tahu — kalau dia rebah, siapa nak jaga semua?
Sekarang bila saya dah dewasa, bila hidup mula hempas saya kiri kanan, saya mula faham semua tu. Saya mula nampak semua benda yang dulu saya tak peduli.
Saya sendiri sedang menganggur.
Saya cari kerja tapi tak lepas temuduga. Ada yang tolak tanpa sebab.
Ada yang senyap macam saya tak wujud. Saya hantar manuskrip ke penerbit, ditolak. Digelapkan. Diabaikan.
Saya cuba berdiri dengan tulisan saya,
tapi dunia seolah-olah cakap, “Tulis pun tak ke mana…”
Saya rasa tak guna. Saya rasa macam sia-sia hidup. Saya rasa gagal — sebagai anak, sebagai manusia.
Saya jadi sakit. Mental saya koyak. Emosi saya penat. Fizikal saya mula tunjuk tanda — susut berat badan, selalu pening, cepat letih.
Kadang-kadang saya rasa… macam nak hilang.
Dan dalam diam, saya tengok mak saya masih kerja. Masih keluar pagi, balik petang. Saya tolong masak masa dia balik pulang kerja. Tolong cuci kain, kemas rumah tapi saya tau tugas tu tak mampu meringankan beban ibu saya yang masih mengeluh badan sakit sana sini.
Masih simpan impian nak rehat, nak travel, nak ada hidup tenang — yang sampai sekarang belum jadi kenyataan. Saya rasa bersalah. Saya rasa gagal. Saya rasa beban.
Saya tahu saya banyak habiskan duit. Saya tahu saya belum cukup membantu. Saya tahu saya belum berjaya. Tapi saya tak sanggup tengok mak saya terus letih… Letih sejak saya lahir.
Letih yang saya warisi tanpa sedar.
Letih yang saya teruskan tanpa mampu ganti apa-apa.
Saya menulis dalam diam.
Saya cuba jual karya sendiri.
Saya usaha buat income kecil walau kena flag tanpa sebab.
Saya tulis walaupun mata perit, badan demam, jari kebas.
Saya buat semua sebab saya nak tengok mak saya berehat — walaupun sehari.
Saya nak mak saya duduk di tepi jendela tanpa fikir apa nak masak malam ni.
Saya nak dia beli baju bukan sebab murah, tapi sebab dia suka.
Saya nak dia berjalan ke tempat yang dia selalu sebut, tapi tak pernah sampai.
Saya nak dia hidup untuk diri sendiri — bukan untuk orang lain lagi.
Saya nak hadiahkan dia hasil titik peluh saya yang selama ini dia tak percaya.
Saya nak buktikan yang walaupun jalan saya lambat, susah, berliku — saya tetap sampai.
Saya nak cakap depan dia satu hari nanti:
“Mak, ni duit hasil cerita yang mak dulu anggap sia-sia. Tapi hari ni, saya nak mak tahu — semua ni saya tulis demi mak.”
Saya nak peluk dia dan minta maaf — sebab dah buat dia letih selama ni. Saya nak cium tangan dia dan cakap, “Mak boleh rehat sekarang. Biar giliran saya pula yang jaga.”
Sebab saya baru sedar… Mak saya dah letih.
Dah lama letih. Letih sejak saya lahir — dan saya tak nak dia terus letih sampai akhir hayatnya.
Dan kalau mak kau masih ada hari ni —tolong… tolong tengok dia betul-betul. Bukan sekadar pandang, tapi lihat dia dengan hati.
Dengar betul-betul keluhan dia yang dia cuba sorok di sebalik senyuman letih. Perhatikan lenguh di bahu dia. Suara dia yang makin perlahan. Mata dia yang semakin redup.
Dan kalau kau berani, pandang dalam mata dia.
Kau akan nampak — ada seorang wanita yang dah terlalu lama letih. Terlalu lama tahan sakit. Terlalu lama pendam segalanya — demi anak-anak yang dia tak pernah abaikan walau sesaat pun.
Dia tak pernah minta dihargai. Dia tak pernah minta dibalas. Dia tak pernah pun ungkit apa-apa. Sebab bagi dia, cukup anak-anak sihat, cukup anak-anak gembira, itu pun dah syurga.
Tapi tak adil kalau kita terus biar dia macam tu. Tak adil kalau kita tak cuba balas balik, walau dengan sedikit usaha.
Mak saya sendiri… Dah terlalu lama letih. Letih sejak saya lahir. Letih yang tak pernah dia rehatkan. Dan saya sedar semua tu — lambat, tapi belum terlambat.
Saya berjanji, kalau satu hari nanti saya berjaya, walau dengan apa cara pun…
saya nak bagi dia rehat yang dia tak pernah minta, tapi sangat-sangat layak untuk terima.
Sebab mak kita — adalah satu-satunya manusia yang sanggup korbankan segalanya,
tanpa pernah harap apa-apa kembali.
Dan hari ni, saya cuma nak satu peluang.
Peluang untuk jadikan hidup dia lebih ringan,
sebab hidup saya terlalu banyak dibina atas letih dia yang tak pernah dirawat.
Tulislepasgeram (delinsly30@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)

