Saya belum berada pada tahap selesa – Ara Johari

Entertainment
15 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya belum berada pada tahap selesa – Ara Johari

Genap 10 tahun menempa nama dalam industri seni tanah air, penyanyi, Ara Johari mengakui perjalanan yang dilayarinya sebagai seorang penghibur tidaklah semudah yang digambarkan.

Menurut Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari, sedekad perjuangannya bukan sekadar dihitung melalui kejayaan lagu-lagu popular, sebaliknya turut diwarnai episod kejatuhan, kesempitan hidup dan perjuangan mencari tempat dalam dunia muzik.

“10 tahun ini sebenarnya sangat berat buat saya. Ada naik turun, jatuh bangun dan semuanya pernah saya lalui.

“Sehingga sekarang, saya masih belum berada pada tahap yang benar-benar selesa. Saya masih belum merasakan kedudukan saya cukup kukuh dalam industri muzik.

“Sepanjang tempoh itu, ada masanya saya berdepan masalah kewangan dan ada ketika langsung tidak mendapat tawaran pekerjaan, terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keadaan ketika itu memang sangat mencabar. Tetapi Alhamdulillah, bermula 2024, rezeki saya semakin baik sehingga sekarang saya masih mampu menghasilkan lagu, muzik video dan merancang showcase sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Biarpun pernah diuji dengan pelbagai kesukaran, penyanyi berusia 29 tahun itu tidak pernah terlintas untuk meninggalkan dunia seni yang sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya.

“Saya tidak pernah berputus asa kerana muzik merupakan minat dan kecintaan saya sejak kecil. Saya mula menyanyi ketika berusia 10 tahun, jadi menyerah kalah bukanlah pilihan terbaik.

“Walaupun kita tidak mempunyai wang atau tawaran pekerjaan, itu bukan alasan untuk berhenti melakukan sesuatu yang kita minati.

“Kalau lagu ini tidak menjadi, kita cuba lagu seterusnya. Kalau lagu berikutnya pun tidak berjaya, kita cuba lagi sehinggalah berhasil. Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat dan saya tahu saya mampu melakukannya,” kongsinya.

Image from: Saya belum berada pada tahap selesa – Ara Johari

Transisi penampilan beri impak pada kerjaya

Dalam pada itu, sedekad berada dalam industri turut menyaksikan transisi yang ketara dalam diri Ara, termasuk dari segi penampilan, pembawaan diri dan pendekatan terhadap muzik.

Mengakui masih mentah selepas melangkah keluar daripada Akademi Fantasia, penyanyi lagu Kisah Yang Hampir Sempurna itu menyifatkan pengalaman sepanjang 10 tahun banyak mengajarnya untuk memahami selok-belok industri hiburan.

“Ketika baru keluar daripada Akademi Fantasia, saya sebenarnya seorang budak yang tidak tahu banyak perkara mengenai industri muzik, termasuk aspek teknikal dan cara membawa diri.

“Tetapi sedikit demi sedikit saya belajar dan sehingga sekarang pun saya masih belajar. Semua pengalaman itu menjadikan saya lebih matang.

“Saya juga mengikuti perkembangan semasa, sama ada dari segi fesyen mahupun muzik yang menjadi pilihan pendengar. Saya memang banyak mengkaji perkara yang diminati masyarakat sekarang,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ara yang sebelum ini kerap tampil dengan perwatakan ‘boyish’ juga tidak menafikan perubahan imej memberikan impak positif terhadap kerjaya seninya, selain mahu menyesuaikan diri dengan cita rasa peminat dan perkembangan industri hiburan.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa penampilan juga merupakan sebahagian daripada pakej penting untuk menjadi seorang penyanyi.

“Kita perlu kelihatan kemas, cantik dan mempunyai penampilan yang sesuai apabila berada di hadapan orang ramai.

“Apabila saya mula mengkaji perkembangan fesyen, saya sedar bahawa kita juga perlu mengambil kira perkara yang disukai masyarakat.

“Kadang-kadang, apa yang kita suka belum tentu disukai orang lain. Jadi, saya cuba menyesuaikan penampilan dengan cita rasa semasa dan banyak belajar daripada proses itu,” ujarnya.

The post Saya belum berada pada tahap selesa – Ara Johari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved