Hampir 40 minit saya terperangkap dalam lif – Ara Johari

Entertainment
13 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hampir 40 minit saya terperangkap dalam lif – Ara Johari

PETALING JAYA: Penyanyi, Ara Johari berkongsi detik cemas apabila terperangkap di dalam lif sebuah hotel ketika berada di Sarawak, pada Sabtu lalu.

Menurut Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari, kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam persiapan untuk menjayakan sebuah persembahan di sebuah lokasi yang bersambung dengan hotel penginapan berkenaan.

“Kejadian itu berlaku kira-kira tiga hari lalu ketika saya menghadiri sebuah acara di Sarawak. Ketika itu, saya sudah siap bersolek dan sekitar pukul 3.30 petang, saya menaiki lif untuk ke bilik tetapi tiba-tiba lif tersangkut.

“Dalam lif itu ada beberapa orang lain termasuk pemain yang mengalami kecederaan dan seorang petugas perubatan. Lif tersangkut di antara tingkat tiga dan empat kawasan parkir.

“Kami sudah menekan loceng kecemasan tetapi tiada siapa mendengar kerana kawasan itu tidak ramai orang lalu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video Kisah Yang Hampir Sempurna, pada Selasa.

Tambah Ara, keadaan menjadi lebih sukar apabila mereka tidak mempunyai liputan telefon untuk menghubungi pihak luar bagi mendapatkan bantuan sebelum pengurusnya membuka sedikit pintu lif tersebut.

“Pengurus saya cuba membuka sedikit pintu lif kerana langsung tiada liputan telefon di dalamnya.
Selepas pintu berjaya dibuka sedikit, barulah kami mendapat liputan telefon dan dapat menghubungi pasukan saya serta penganjur untuk mendapatkan bantuan juruteknik.

“Hampir 40 minit juga saya terperangkap dalam lif itu. Apabila pintu akhirnya berjaya dibuka, kami terpaksa memanjat untuk keluar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ara mengakui tidak terlalu panik sepanjang kejadian, sebaliknya lebih banyak berdiam diri kerana tidak mengetahui tindakan yang perlu dilakukan.

“Saya sebenarnya tidak terlalu panik. Saya cuma tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan dalam situasi itu. Nasib baik pengurus saya ada bersama. Kalau saya terperangkap seorang diri, mungkin saya langsung tidak tahu apa yang perlu dibuat.

“Rasanya saya hanya akan duduk dan reda menunggu sehingga pintu lif dibuka. Nasib baik ketika kejadian tidak terlalu ramai orang berada dalam lif. Ada sekitar lima atau enam orang sahaja, jadi keadaan tidaklah terlalu sesak.

“Selepas kejadian itu, saya okey sahaja. Cuma ketika hendak pulang ke bilik, saya terpaksa menggunakan tangga kerana lif tersebut memang tidak boleh digunakan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Ara baru sahaja melancarkan lagu terbaharunya yang berjudul, Kisah Yang Hampir Sempurna hasil ciptaan bersama komposer tempatan Aepul Roza dan Daus Drama Band.

Dalam masa sama, Ara turut mengumumkan dia bakal mengadakan Showcase Sedeka Bersuara Johari yang dijadualkan berlangsung di Robert’s Theater The Campus Ampang pada 30 November ini.

The post Hampir 40 minit saya terperangkap dalam lif – Ara Johari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved