‘Saya belum puas hati’

7 Aug 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Saya belum puas hati’

PETALING JAYA: Jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui masih terdapat banyak kelemahan terhadap pasukannya biarpun Young Tigers memulakan siri jelajah di India dengan dua kemenangan meyakinkan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 di China, bulan depan.

Malaysia sedang menjalani fasa akhir persiapan di India menjelang kejohanan yang dijadual berlangsung di Moqi, China dari 4 hingga 13 September itu mencatat kemenangan 6-2 ke atas Akademi Sukan India (SAI) pada Isnin lalu sebelum membelasah lawan sama 8-0, kelmarin.

Bagaimanapun, Nor Saiful menegaskan keputusan tersebut bukan ukuran sebenar kekuatan pasukannya kerana kedua-dua perlawanan itu hanyalah aksi latihan selain lawan yang dihadapi merupakan skuad akademi dan bukannya pasukan remaja kebangsaan India.

“Ini baru latihan sahaja. Kita ada lapan perlawanan dalam jelajah ini dan setiap perlawanan berbeza. Kita mahu melihat hala tuju serta mencari kombinasi terbaik supaya kita memiliki pasukan paling mantap menjelang aksi terakhir nanti.

“Kita memang gembira dapat beraksi di sini, tetapi perlu diingat pasukan yang kita lawan bukan skuad remaja India, sebaliknya pasukan akademi mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Bangalore, semalam.

Selepas ini, skuad negara dijadual menentang skuad remaja India sebanyak lima kali bermula hari ini dan kemudiannya kembali berdepan SAI dalam aksi terakhir jelajah pada 15 Ogos, sebelum pulang ke tanah air.

Nor Saiful turut berkata, dia berharap anak-anak buahnya dapat memanfaatkan setiap aksi tersebut dalam usaha mereka menterjemahkan segala taktikal di atas padang.

“Saya harapkan penambahbaikan dari segi memperkemaskan taktikal serangan dan pertahanan selain persediaan akhir menghadapi perlawanan berprestasi tinggi menentang India sebelum Piala Asia,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Saya belum puas hati’ appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved