'Saya belum terima apa-apa, akan rujuk peguam'- Tuan Ibrahim

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 1:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya belum terima apa-apa, akan rujuk peguam'- Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim menghadiri Program Munajat dan Ceramah Mega di Port Dickson pada Khamis.

PORT DICKSON –"Saya hanya sebut berdasarkan beberapa laporan media tentang kenyataan dia."

Demikian reaksi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika diminta mengulas mengenai tuntutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkannya membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Menurutnya, setakat ini beliau belum menerima sebarang notis berhubung perkara itu.

"Saya belum terima apa-apa. Bila dah dapat notis itu nanti, saya akan rujuk dengan pihak peguam.

"Apa yang saya sebut hari itu berdasarkan beberapa laporan media mengenai kenyataan beliau. Apa-apa pun saya akan rujuk kepada peguam," katanya selepas Program Munajat dan Ceramah Mega di sini pada Khamis.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tidak berkongsi lanjut mengenai kenyataan yang didakwa fitnah terbabit.

Sebelum ini media melaporkan, peguam Datuk SN Nair berkata, kenyataan yang didakwa berbaur fitnah itu dibuat di luar Parlimen pada 14 Jun lalu dan diterbitkan semula melalui media sosial.

Surat tuntutan tersebut antara lain menuntut supaya Tuan Ibrahim menarik balik serta-merta kenyataan yang dipertikaikan dan membuat permohonan maaf terbuka tanpa syarat.

"Selain itu, Tuan Ibrahim juga perlu membuat aku janji agar tidak mengulangi dakwaan tersebut selain membayar ganti rugi dan kos guaman," kata peguam itu menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata Tuan Ibrahim diberi tempoh 48 jam untuk memberikan maklum balas dan sekiranya gagal berbuat demikian, pihaknya diarahkan untuk memulakan prosiding undang-undang tanpa sebarang notis lanjut.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved