'Saya berdoa Bersatu dibukakan hati suatu hari nanti' - Hamidah

LocalPolitics
24 Jul 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya berdoa Bersatu dibukakan hati suatu hari nanti' - Hamidah
Hamidah ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN Parlimen Rembau.

SEREMBAN – Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diharap terbuka hati untuk bersama-sama menyertai usaha penyatuan ummah yang digerakkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) suatu hari nanti.

Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

"Kita sebenarnya tidak mampu untuk terus berpecah-belah. Apa yang mereka cuba lakukan amat menyedihkan apabila meletakkan calon Bersatu di sini, bukannya dengan harapan untuk menang tetapi sekadar memecah-belahkan sokongan.

"Jadi, kita berharap dan berdoa agar hati pimpinan Bersatu dibukakan untuk bersama-sama dalam perjuangan besar ini. Tidak perlulah mengganggu hasrat murni yang sedang kita buat," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN Parlimen Rembau di sini pada Khamis.

Hamidah turut menyifatkan dakwaan Bersatu mampu mencipta kejutan di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri ini adalah sesuatu yang sukar.

Ini kerana jelas beliau, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pagoh yang mana Ahli Parlimennya ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin tewas kedua-duanya dalam pilihan raya negeri yang lalu.

"Saya bukan hendak menghina, tetapi jika dua calon DUN di bawah kawasan presiden Bersatu sendiri iaitu di Parlimen Pagoh hilang deposit, apatah lagi di Negeri Sembilan.

"Jadi janganlah kita nak buang undi. Tidak akan mereka boleh buat sesuatu, kita tumpukan untuk menguatkan apa yang ada ini dan pastikan kemenangan berpihak kepada kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa bahawa DAP sangat takut dengan gelombang penyatuan ummah yang sedang dibawa oleh BN-PN.

Justeru kata Hamidah, beliau yakin sekiranya semua parti Melayu bersatu, bukan saja dapat menawan DUN Paroi, tetapi juga Negeri Sembilan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved