
Kecoh minggu ini, pelakon Puteri Sarah membuat kenyataan akan memfailkan cerai terhadap suaminya Syamsul Yusof selepas pergolakan rumah tangga mereka semakin meruncing.
Pun begitu, penerbit tersohor negara, Datuk Yusof Haslam yang juga bapa kepada Syamsul memujuk menantunya, Puteri Sarah Liyana agar menimbang semula keputusan mahu menuntut cerai.

Menurut laporan Berita Harian, walaupun pendirian Puteri Sarah itu tegas, Yusof bagaimanapun berharap agar perceraian anak dan menantunya itu tidak akan terjadi.
“Saya berbincang dengan Puteri Sarah dan memujuknya untuk mempertimbangkan keputusannya itu.
Walaupun Puteri Sarah hendak tuntut cerai hinggalah proses perceraian itu berlangsung kerana akan mengambil masa (jika berlaku), saya akan tetap mendoakan semoga perceraian itu tidak terjadi.
Jika perceraian itu tidak berlaku, saya fikir Syamsul kena banyak buat perubahan dalam hidup kerana hidup ini adalah suatu pengorbanan dan perjuangan,” katanya.
Sebelum ini, Puteri Sarah berkata dia enggan melengahkan masa dan mahu memfailkan perceraian segera dan keputusan untuk berpisah itu dibuat atas persetujuan keluarga.
Selain itu, Puteri Sarah juga dilaporkan mahu mencari ketenangan dan memulakan hidup baharu.
Semoga baik-baik sahaja semuanya…

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

