
KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Syatilla Melvin menegaskan dia tidak meninggalkan kerjaya lakonan sepenuhnya, namun, hanya memperlahankan karier tersebut buat sementara waktu.
Syatilla atau Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, berkata, keputusan itu diambil kerana fokus utamanya kini lebih tertumpu kepada menguruskan anak-anak dan keluarga di rumah.
Menurutnya, dia mengakui belum mempunyai rasa rindu untuk kembali aktif ke lokasi penggambaran biarpun menerima banyak tawaran.
“Saya dapat banyak tawaran untuk berlakon, tetapi saya belum ada rasa betul-betul rindu untuk kembali. Saya memang lebih memberikan tumpuan kepada anak-anak sebenarnya.
“Biar saya simpan sendiri sebabnya, tetapi buat masa sekarang belum lagi. Bila di rumah dan bekerja sendiri, saya senang mahu uruskan masa dengan keluarga” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syatilla berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam sidang media MR. DIY Club bersama duta Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin di MYTOWN Shopping Centre, pada Khamis.
Tambah Syatilla, dia menegaskan dia akan kembali berlakon apabila tiba waktu yang sesuai kelak.
“Insya-Allah kalau anak-anak dah besar dan Sam ada masa untuk tengok anak-anak, mungkin saya akan bergilir-gilir. Saya bukan meninggalkan sepenuhnya, cuma meletakkan tanda koma sekejap dan akan berlakon semula bila sampai masa.
“Satu syarat, memang tiada babak bersentuhan dan mahu berdiri tepi lelaki lain pun saya dah rasa malu dan pelik. Daripada bagi orang lain rasa tidak sesuai, lebih baik saya berundur sekejap,” katanya.
The post Saya hanya letak tanda koma terhadap kerjaya lakonan saya – Syatilla Melvin appeared first on Utusan Malaysia.






