
KUALA LUMPUR: Pelakon, Natasha Hudson mengakui dirinya tidak pernah meletakkan noktah terhadap kerjaya lakonan meskipun kini sibuk mengusahakan studio pembuatan tembikar miliknya di Langkawi.
Menurut Natasha atau Natasha Liana Hudson, dia kini lebih berhati-hati dalam memilih naskhah dan hanya akan menerima tawaran yang benar-benar sesuai dengan prinsip serta komitmennya.
“Saya tidak pernah meninggalkan dunia lakonan. Bagi saya, setiap tahun seseorang itu perlu berkembang. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kehidupan dan kerjaya saya berkembang dalam pelbagai arah.
“Saya percaya seseorang tidak boleh bergantung kepada satu bidang sahaja sepanjang hidup. Jika terlalu bergantung kepada satu perkara, kita mungkin tidak akan berkembang dalam bidang yang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengakui keluarga dan bidang perniagaan kini menjadi keutamaannya, Natasha memaklumkan ada saja tawaran lakonan yang datang, namun kebanyakannya tidak selari dengan masa serta komitmennya pada ketika ini.
“Sepanjang tempoh itu memang masih ada tawaran berlakon yang datang. Cuma saya rasa ramai sudah mengetahui bahawa saya sangat memilih dalam soal pekerjaan.
“Walaupun banyak tawaran diterima, tidak semuanya sesuai dengan saya. Saya tidak akan menerima sesuatu tawaran semata-mata kerana ia datang.
“Saya akan melihat skrip terlebih dahulu. Saya juga mahu memahami watak yang ditawarkan serta memastikan masa yang diperlukan bersesuaian dengan komitmen saya,” jelasnya.
Hanya berserah pada aturan waktu, pemilik studio The Ginger Vessel itu bagaimanapun bahagia menjalani kehidupannya yang kini lebih ‘membumi’.
“Seni tembikar memberikan ketenangan kepada saya kerana saya boleh melakukannya mengikut rentak dan masa sendiri. Namun, jika ada tawaran berlakon, saya tetap akan mempertimbangkannya.
“Saya akan menilai jenis projek, watak yang ditawarkan dan juga nilai tawaran tersebut. Kalau saya merasakan sesuatu projek itu tidak berbaloi atau tidak sesuai, saya tidak akan teragak-agak untuk menolaknya.
“Sejujurnya, sudah banyak tawaran yang saya tolak. Bagi saya, keluarga tetap menjadi keutamaan, walau apa pun yang berlaku. Bagi saya, menjalani kehidupan di pulau membuatkan diri saya lebih ‘membumi’.
“Saya bertemu jiwa saya dengan mengendalikan perniagaan yang boleh dekatkan diri dengan pelbagai orang dalam pelbagai cara malah kita lebih memberi kepada orang,” ujarnya.
The post Tidak pernah tinggalkan dunia lakonan, Natasha Hudson Kini hanya lebih ‘membumi’ appeared first on Utusan Malaysia.




