‘Saya harap Nurul Izzah menanglah’, Sanusi berseloroh mahu tulis ‘warkah kepada dinda’

LocalPolitics
15 May 2025 • 8:55 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memilih untuk tidak campur tangan dalam soal pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun menyatakan sokongan secara peribadi kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Menurutnya, beliau mematuhi arahan Timbalan Presiden PAS untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.

“Depa (mereka) tanya saya pasal pemilihan Timbalan Presiden PKR. Saya pegang arahan Timbalan Presiden, PAS tak campur tangan dalam urusan parti lain. Harap siapa yang menang tu lebih baik untuk negara.

“Tapi saya harap Nurul Izzah menang lah,” katanya kepada media.

Dalam pada itu, Sanusi turut mengharapkan agar proses pemilihan PKR kali ini berjalan lancar.

“Oleh kerana mereka parti kerajaan, sekurang-kurangnya siapa yang menang akan beri kesan kepada kerajaan selepas ini.

“Saya harap pemilihan berlaku dengan lebih lancar dan orang yang dipilih itu adalah yang terbaik untuk negara. Kalau Nurul Izzah lebih baik, maka Nurul Izzah lah. Kalau Rafizi, maka Rafizi lah,” jelasnya.

Dalam nada berseloroh, beliau turut menyatakan hasrat untuk mengirimkan warkah kepada Nurul Izzah sekiranya beliau menang.

“Saya harap Nurul Izzah menang lah, dia tak kutuk saya. Kalau dia menang, saya akan tulis warkah untuk dinda,” katanya.