
AWAL minggu ini, negara dikejutkan dengan pemergian tokoh wanita disegani, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada 28 September lalu.
Pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bukan sahaja dirasai keluarga, malah meninggalkan kesan kepada rakyat yang mengenali beliau sebagai antara tokoh wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan serta individu yang banyak menabur bakti dalam kesihatan awam dan kebajikan masyarakat.
Seminggu sebelum Dr. Hasmah pergi meninggalkan kita semua, arwah sempat menghadiri majlis Seniman Semeja anjuran Datin Paduka Umie Aida dan suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Majlis tersebut dianjurkan bertujuan untuk menyantuni Dr. Mahathir dan Dr. Hasmah sempena ulang tahun kelahiran mereka dan tanda ucapan terima kasih atas jasa dan pengorbanan mereka selama memimpin negara.
Turut berada dalam majlis berkenaan adalah pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Ziela Jalil. Ziela juga merupakan isteri kepada mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.
Ziela juga antara selebriti yang sangat terkesan atas pemergian Tun Hasmah. Pada hari Seniman Semeja tempoh hari, dia antara yang paling teruja dapat bertemu dengan Dr. Mahathir dan Dr. Hasmah.
Diberi kesempatan duduk semeja bersama Allahyarham, Ziela atau nama lengkapnya Norzilah Abdul Jalil, 56, tidak menyangka momen tersebut menjadi pertemuan terakhir mereka.

“Hari itu saya ambil gambar banyak-banyak dengan arwah. Seolah-olah itulah kali terakhir saya akan bertemu dengan arwah. Sampai jadi bahan gurauan rakan-rakan.
“Tetapi saya lihat hari itu arwah kelihatan berbeza. Tidak seperti selalu. Beliau tidak banyak bercakap.
“Cuma satu yang saya terkilan saya tak lakukan pada hari itu adalah mengiringi Dr. Mahathir dan Dr. Hasmah ke kereta sewaktu mereka pulang,” katanya.
Sama seperti yang lain, Ziela juga tersentak tatkala mendapat perkhabaran pemergian Dr. Hasmah tepat seminggu selepas pertemuan mereka.
“Saya seolah-olah tidak percaya kerana masih terasa seperti semalam bertemu dengannya. Kesedihan dirasa sama seperti ketika saya kehilangan arwah ibu saya dahulu.
“Namun saya bersyukur, pada hari kematian arwah, saya diberi kesempatan untuk memberi penghormatan buat kali terakhir untuk menatap wajah dan mencium jenazah sebelum dikebumikan.
“Saya juga sempat mengiringi jenazah arwah sehingga ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
“Saya rasa, perasaan terkilan saya kerana tak dapat iringi Tun minggu lepas ke keretanya, dibalas dengan kesempatan mengiringi beliau ke negeri abadi,” jelasnya sambil menahan sebak.
Cerita Ziela lagi, banyak kenangan manisnya bersama arwah malah arwah antara tokoh politik yang sentiasa menyokong pementasan teater terbitannya bersama Erma Fatima.
Seingat Ziela, Dr. Hasmah pernah meminta cadangan idea nama Persatuan Isteri Isteri Menteri daripada arwah Tan Sri Megat Junid satu ketika dulu.
“Tun Hasmah pernah cerita pada saya, beliau menghubungi Tan Sri Megat untuk meminta cadangan nama persatuan tersebut dan Tan Sri mencadangkan nama BAKTI. Dan nama itulah yang dipilih Tun Hasmah,” kongsinya.

Lawat pusara
Masuk ke topik kehilangan yang dirasai Dr. Mahathir ketika ini, Ziela terdiam seketika. Sebagai individu yang pernah melalui episod kematian suami, Ziela akui sangat memahami perasan Dr. Mahathir ketika ini.
“Kehilangan insan yang amat kita cintai sangat perit untuk dilalui. Saya hanya sempat hidup bersama arwah suami selama 17 tahun. Itupun arwah tidak selalu bersama saya setiap hari kerana saya berkongsi suami.
“Bayangkan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah yang sudah hidup selama 70 tahun bersama setiap hari. Dr. Siti Hasmah ibarat bayang-bayang suaminya. Ke mana pergi dan berada, beliau sentiasa ada di belakang suami.
“Sewaktu saya kehilangan arwah Tan Sri dulu, saya akan ke kubur arwah dua kali sehari selama empat bulan. Pagi dan petang. Selepas hantar anak pergi sekolah, saya akan ziarah. Lepas ambil anak dari sekolah, bawa anak pula pergi ziarah. Selepas itu saya akan pergi setiap minggu.
“Saya akan ke kubur arwah untuk meluahkan perasaan, bercakap dengan arwah dapat mengurangkan segala beban dan tekanan yang saya alami,” kongsinya.
Bercerita lanjut tentang kenangan detik-detik terakhir bersama arwah suami ketika masih dirawat, Dr. Mahathir sempat datang melawat.
Ketika itu dia melihat sendiri bagaimana kehadiran bekas Perdana Menteri itu memberi kesan kepada arwah suaminya.
“Arwah suami dahulu pernah berkhidmat sebagai pegawai khas dan setiausaha sulit Dr. Mahathir sekitar 1970-an sehingga 1980-an. Sebelum itu beliau bergelar guru.
“Beliau seorang yang sangat setia dengan Dr. Mahathir.
“Ada satu kejadian ketika di hospital. Ketika itu arwah sudah sakit teruk. Beliau tidak sedarkan diri. Dr. Mahathir datang melawat dan beliau menangis melihat keadaan suami saya.
“Ketika sedang lap air mata, Dr. Mahathir terbatuk. Ketika itu saya lihat arwah suami saya menggerak badannya. Seolah-olah dia dapat rasa kehadiran Tun di situ. Kasih sayang arwah terhadap Tun sangat luar biasa,” ujarnya.
Ziela turut meluahkan rasa syukur dan bangga apabila anak perempuannya, Puteri Julia Nabilah kini bergelar seorang doktor.
“Waktu anak saya masih kecil, arwah suami akan beritahu pada petugas di hospital yang anak saya nak jadi doktor bila besar nanti.
“Selepas anak saya berjaya menjadi doktor, saya bertemu dengan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah di sebuah acara. Ketika itu, saya dengan bangga beritahu mereka anak saya dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid kini kini sudah bergelar seorang doktor. Sama seperti Dr. Mahathir dan Dr. Hasmah,” ceritanya teruja.

Kembali bertemu jodoh
Pernah terfikir bahawa akan selama-lamanya hidup bertemankan kenangan bersama arwah suami, Ziela mengakui tidak menyangka selepas 11 tahun bergelar ibu tunggal, Allah menulis takdir berbeza untuknya apabila kembali bertemu jodoh dengan Datuk Syed Osman Al Habshee Syed Omar.
“Saya tidak pernah sangka akan berkahwin semula. Saya ingat akan selamanya menyendiri dan hidup dengan kenangan bersama arwah suami. Cinta dan kasih saya terhadap arwah suami sangat dalam.
“Tetapi di situlah Allah menguji saya. Jangan pernah katakan tidak. Allah yang maha berkuasa dan menentukan. Saya berkenalan dengan suami saya sekarang dalam masa lima minggu sahaja sebelum kami bergelar suami isteri.
“Biarpun ramai yang mempersoalkan kenapa perlu berkahwin lagi dan berkongsi suami lagi untuk kali kedua sedangkan anak-anak sudah besar. Tetapi takdir Allah, siapa yang mampu menduga dan menghalang
“Suami menerima saya seadanya. Dia tahu cinta saya terhadap arwah Tan Sri begitu besar. Di rumah saya, masih banyak gambar saya bersama arwah Tan Sri terpampang di dinding. Namun dia tidak pernah sama sekali meminta saya turunkan gambar-gambar tersebut.
“Malah suami saya selalu menyelitkan nama arwah Tan Sri dalam setiap doanya dan majlis tahlil. Melihat keluhuran dan keikhlasan hatinya, membuatkan anak-anak saya juga ikhlas menerima kehadirannya dalam hidup mereka,” ujarnya.
Kini Ziela hanya mahu menghabiskan sisa hidupnya dengan menjalani kehidupan yang tenang bersama keluarga dan sahabat-handai. Tidak lagi aktif sebagai penerbit, Ziela sesekali menerima undangan lakonan dan kerap menghadiri majlis ilmu bersama sahabat-sahabat dan kenalan dekat.
The post ‘Saya ingat akan selamanya hidup dengan kenangan arwah suami’ appeared first on Kosmo Online.





