
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Datin Seri Rosmah Mansor kecewa, sedih dan terluka dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berhubung projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Bagaimanapun isteri bekas Perdana Menteri itu menghormati keputusan yang dibuat dan beranggapan mahu tinggalkan mahkamah dengan kenangan yang manis.
“Saya tak pernah ambil wang walau satu sen, tolonglah kasihan pada saya, jika ia boleh berlaku kepada saya, ia boleh terjadi kepada setiap anak cucu anda,” katanya ketika diberi peluang untuk merayu agar hukuman diringankan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Rosmah berkata, sepanjang hidup, beliau tidak pernah mempunyai niat untuk meminta atau menerima rasuah.
Menurutnya, Yayasan Permata mempunyai dana sebanyak RM45 juta dan beliau tidak pernah sekali pun mengusik peruntukan tersebut.
Bukan itu sahaja, beliau yang juga pengasas yayasan itu berkata, tiada saksi yang nampak beliau mengambil mahu pun mengira wang tersebut.
“Saya serah segalanya kepada ALLAH, siapa yang betul dan siapa salah, lambat laun akan diketahui juga.
“Saya harap Yang Arif (Mohamed Zaini) dapat mempertimbangkan dan menganggap saya sebagai seorang wanita yang menjalankan tanggungjawab sebagai lelaki di dalam rumah,” katanya.

