'Saya lalu tempat itu banyak kali, tapi tak nampak jasad Nadzirul Syamin' - Rakan

7 Aug 2026 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya lalu tempat itu banyak kali, tapi tak nampak jasad Nadzirul Syamin' - Rakan
Rangka manusia dipercayai milik Nadzirul Syamin ditemukan bersama sebuah motosikal di dalam longkang di Kilometer 155.7 Lebuhraya WCE pada Rabu.
Image from: 'Saya lalu tempat itu banyak kali, tapi tak nampak jasad Nadzirul Syamin' - Rakan
Mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menuju Sabak Bernam dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang.

IPOH - "Saya lalu banyak kali tempat itu, tetapi Tuhan tidak temukan saya dengan dia."

Demikian luahan seorang rakan wanita kepada Nadzirul Syamin Mahyudin, 35, yang ditemukan meninggal dunia di dalam longkang di Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan dekat Bagan Datuk, Rabu lalu.

Nadzirul Syamin yang beralamat dari Teluk Intan ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan hanya tinggal rangka selepas lapan hari dilaporkan hilang.

BACA: Rangka manusia ditemui dipercayai milik Nadzirul Syamin

**media[3608391]**

Semasa kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menuju Sabak Bernam dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang.

Menurut rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Ieza, 40, dia bersama keluarga Nadzirul Syamin tidak pernah berhenti mencari selepas kali terakhir berhubung dengan mangsa pada jam 12.40 tengah hari, 29 Julai lalu.

Katanya, selepas panggilan telefon tidak lagi dijawab, timbul kebimbangan mangsa mungkin terbabit dalam kemalangan.

"Saya lalu tempat kejadian itu banyak kali, tetapi memang tidak nampak apa-apa. Mungkin masa itu longkang ada air, sebab pakaian ketika mangsa ditemui juga basah.

"Kenapa saya tak jumpa dia dekat situ, saya pun tidak tahu. Tuhan belum temukan saya dengan dia ketika itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Ieza berkata, Nadzirul Syamin yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Selangor memilih berulang-alik setiap hari dari Teluk Intan kerana mahu menjaga ibunya yang kurang sihat.

Katanya, arwah juga pernah terbabit dalam kemalangan seorang diri ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya sebelum ini.

"Saya ralat dan sedih. Dari Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad sampai Isnin saya cari dia. Saya cari di tempat kerja dan beberapa lokasi lain sebelum buat laporan polis pada Selasa.

"Pada Rabu, polis maklumkan yang arwah sudah dijumpai," katanya sebak.

Ieza berkata, dia bersama kakak mangsa diberi tanggungjawab membantu proses pengecaman berdasarkan pakaian, beg, barangan peribadi serta kunci rumah yang dibawa ketika ditemukan.

Katanya, pemergian anak ketiga daripada lima beradik itu amat dirasai keluarga dan rakan-rakan kerana arwah dikenali sebagai seorang yang baik hati, ringan tulang serta gemar membantu orang.

"Dia pesan, kalau dia sudah tiada nanti, jangan menangis dan jangan sedih. Dia juga pesan supaya saya jaga diri dan tolong tengok-tengokkan mak dia. Sekarang saya teringat balik pesan itu,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batak Rabit, Teluk Intan kira-kira jam 12 tengah hari pada Khamis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved