“Saya Lihat Seorang Ayah Sedang Memeluk Erat Anaknya Sambil Menangis” – Saksi Kemalangan Maut Babit BYD

13 Oct 2026 • 12:16 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Saya Lihat Seorang Ayah Sedang Memeluk Erat Anaknya Sambil Menangis” – Saksi Kemalangan Maut Babit BYD

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki bersama bapanya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis BYD Seal yang dipercayai dipandu melulu.

Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu (10 Oktober) lalu, Asiah yang berada di tempat duduk penumpang belakang disahkan maut ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan parah pada kepala.

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu BYD Terlibat Kemalangan Ragut Nyawa Kanak-Kanak 5 Tahun Dikesan Di Hospital Swasta [Video]

Saksi Kemalangan Kongsi Detik Pilu, Nampak Bapa Asiah Peluk Erat Anak & Menangis Minta Bantuan

Terbaharu, seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Muhammad Auzaie berkongsi pengalamannya sendiri menyaksikan detik menyayat hati itu.

Kongsinya, dia tidak menyangka perjalanan pulang selepas melawat isteri serta anak di Hospital Tunku Azizah (HTA) akan bertukar menjadi satu pengalaman yang menyedihkan.

Jelas Muhammad Auzaie, sewaktu dia melalui kawasan terbabit di Jalan Kuching, dia terserempak dengan insiden berkenaan.

“Pada mulanya, terdetik di hati untuk melihat daripada tepi sahaja, namun Allah gerakkan hati saya untuk membantu keluarga itu apabila saya melihat seorang ayah sedang memeluk erat anaknya sambil menangis dan meminta pertolongan untuk menghantar anaknya ke hospital.

“Hati saya terus tersentuh, saya terbayangkan anaknya yang mungkin sebaya dengan anak saya sendiri.

“Tanpa berlengah, saya terus menawarkan diri untuk menghantar mereka ke hospital dengan hanya menunggang motosikal,” katanya.

Saksi Dedah Si Ayah Tak Henti Pujuk & Panggil Anak, Harap Anak Beri Tindak Balas

Jelas Muhammad Auzaie, sepanjang perjalanan, hatinya tersentuh melihat seorang ayah yang tidak henti-henti memujuk serta memanggil anaknya itu.

“Asiah bangun, bangun Asiah. Kita nak pergi hospital ni. Kita dah nak sampai hospital dah ni.

“Berulang kali ayahnya menyebut nama Asiah, mengharapkan anak kecil itu memberikan tindak balas. Dalam keadaan Asiah yang sangat kritikal, pendarahan yang serius berlaku tanpa henti.

“Saya hanya mampu meneruskan perjalanan sambil berharap supaya kami sempat sampai ke hospital dan Asiah dapat diselamatkan.

“Namun, Allah lebih mengetahui segala-galanya. Takdir yang tertulis terlalu berat untuk diterima. Asiah akhirnya pergi meninggalkan dunia ini,” kongsinya.

Saksi Masih Teringat Tangisan Si Ayah Atas Motosikal, Sifatkan Kejadian Sebagai Pengalaman Sukar Dilupakan

Jelas Muhammad Auzaie, dia masih teringat tangisan seorang ayah di atas motosikalnya yang tidak henti memujuk dan memanggil serta berharap anaknya itu bangun memberikan tindak balas.

“Darah Asiah juga melekat pada seluar saya. Satu pengalaman yang sukar untuk saya lupakan. Petang itu, saya pulang daripada melawat isteri dan anak sendiri.

“Namun, dalam perjalanan pulang, Allah izinkan saya menyaksikan sendiri perjuangan seorang ayah yang cuba menyelamatkan anaknya, sebelum akhirnya terpaksa menerima kehilangan yang tidak pernah diharapkannya.

“Saya bukan sesiapa dalam keluarga itu. Saya cuma seorang insan yang kebetulan berada di situ dan diberi peluang oleh Allah untuk membantu setakat yang termampu.

“Tetapi melihat sendiri seorang ayah menangis sambil memeluk anaknya, memanggil nama anaknya berkali-kali, benar-benar membuatkan hati saya hancur.

“Saya terbayangkan anak saya sendiri. Saya tidak mampu membayangkan bagaimana jika saya berada di tempat ayah Asiah,” kongsinya lagi.

Lelaki Doakan Kekuatan Buat Keluarga Mangsa

Pada masa sama, Muhammad Auzaie turut mendoakan kesejahteraan buat arwah serta kekuatan buat keluarga mangsa.

“Ya Allah, rahmatilah anak kecil ini. Tempatkanlah Asiah dalam kalangan anak-anak syurga dan kurniakanlah kekuatan serta kesabaran kepada kedua-dua ibu bapanya untuk menghadapi kehilangan yang amat berat ini.

“Buat ayah dan ibu Asiah, salam takziah daripada saya. Semoga Allah memeluk hati kalian dengan rahmat-Nya dan memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

“Al-Fatihah buat Adik Asiah,” tulisnya.

Selain Asiah, kemalangan yang melibatkan enam kenderaan itu turut menyebabkan pemandu Perodua Bezza cedera pada tangan serta seorang lagi penunggang motosikal cedera pada bahagian kepala.

Manakala, tiga lagi pemandu kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan:

Pemandu BYD Terlibat Kemalangan Ragut Nyawa Kanak-Kanak 5 Tahun Dikesan Di Hospital Swasta [Video]
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved