Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan agar Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dipertemukan dengan wanita solehah yang mampu menjadi teman hidup serta pendamping dalam menggalas amanah sebagai pewaris takhta Kesultanan Pahang.
Baginda bertitah, sebagai seorang ibu, harapan terbesar adalah untuk melihat putera sulungnya itu menemui pasangan yang bukan sahaja memahami tanggungjawab sebagai anggota keluarga diraja, malah bersedia menjadi suri kepada bakal pemerintah negeri.
Advertisement
Dalam temu bual khas bersama Utusan Malaysia, Tunku Azizah turut menyatakan hasrat agar Tengku Hassanal memilih pasangan daripada keluarga diraja bagi mengekalkan kesinambungan dinasti Kesultanan Pahang.
“Saya berdoa Tengku Hassanal dapat wanita yang solehah, tetapi kalau boleh Kebawah Duli Sultan Pahang dan saya mahu anak raja.”
“Namun kalau sudah jodoh dengan orang lain pun, harapannya seorang yang beragama, bermaruah dan berpelajaran, boleh jaga baginda serta pandai masak. Anakanda saya cerewet,” titah baginda.
Bagaimanapun, Tunku Azizah menjelaskan bahawa latar belakang diraja bukanlah syarat mutlak kerana perkara utama ialah keperibadian, pegangan agama dan kemampuan bakal pasangan Tengku Hassanal memikul tanggungjawab besar yang menanti.
Menurut baginda, individu yang bakal bergelar Tengku Puan Pahang atau Che Puan Pahang perlu memiliki reputasi terpuji kerana bukan sekadar menjadi pasangan pemerintah, malah turut mewakili institusi diraja dan rakyat Pahang.

“Kena pilih dengan betul. Penting juga jaga rumah, nak besarkan anak. Tetapi yang paling penting, sesiapa yang dia kahwin itu akan menerajui negeri pada satu hari.”
“Kalau jadi Tengku Puan Pahang atau Che Puan Pahang, dia akan jadi ‘ibu’ negeri. Dia akan mewakili negeri. Jadi sesiapa yang dia kahwini mestilah ada reputasi yang terpuji.”
“Jadi kenapa perlu anak raja kerana dia tahu dan boleh menyesuaikan diri, tahu apa yang selalu didedahkan sebagai anak raja dan tahu tugas-tugasnya, jaga maruah sebagai anak raja,” jelas baginda.
Mengimbau pesanan ayahandanya, Tunku Azizah berkata setiap tindakan seorang anak raja sentiasa menjadi perhatian kerana ia turut membawa nama dan maruah institusi diraja.
Nasihat tersebut kini turut disampaikan kepada anakanda baginda agar memilih pasangan hidup yang benar-benar memahami amanah besar sebagai sebahagian daripada institusi diraja.
Mengulas mengenai calon pasangan Tengku Hassanal, Tunku Azizah menegaskan baginda tidak pernah menetapkan pilihan tertentu meskipun menerima pelbagai cadangan daripada masyarakat.
Sebaliknya, keputusan itu diserahkan sepenuhnya kepada Tengku Hassanal kerana baginda percaya putera sulungnya perlu memilih sendiri insan yang akan menemaninya sepanjang hayat.

“Saya tak berani cakap. Saya serah pada dia. Akhirnya saya nak dia pilih sendiri juga kerana itulah kehidupan dan kegembiraan dia.”
“Dia yang akan hidup dengan orang itu sepanjang hidup. Kalau saya pilihkan, dia tak berkenan, susah juga nanti,” tambah baginda.
Dalam nada bersahaja, Tunku Azizah yang kini berusia 66 tahun turut meluahkan harapan untuk melihat kesinambungan waris Kesultanan Pahang.
Baginda turut berseloroh bahawa terdapat calon yang berkenan di hatinya, namun keputusan akhir tetap diserahkan kepada Tengku Hassanal.
“Saya akui, adalah yang berkenan dalam hati saya. Tetapi dialah tetap pilih. Saya kata tahun depan kalau tak kahwin, mama pilih. Tak nak tunggu awak dah,” kongsi Tunku Azizah.
Pada masa sama, baginda tidak menafikan hasrat untuk melihat Tengku Hassanal berkahwin dengan seorang puteri daripada institusi kesultanan di Alam Melayu dan Nusantara bagi mengeratkan semula hubungan antara kesultanan Melayu.
Namun, Tunku Azizah menegaskan perkara paling utama bukanlah latar belakang keluarga, sebaliknya pegangan agama, akhlak dan kesediaan bakal menantunya memahami tanggungjawab besar sebagai suri kepada seorang raja.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Bertaruh Talak Tiga Isteri Jika 'Team' Argentina Kalah Dengan Kawan, Perkongsian Isteri Ini Buat Netizen 'Naik Hantu' - "Jantan Bod*h"
The post “Saya Mahu Menantu Anak Raja, Ada Reputasi Terpuji” – Tunku Azizah Akui Ada Calon Menantu Pilihan Buat Tengku Hassanal first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






