Saya mahu teruskan apa yang saya mulakan di Kg Maang – Ewon 

LocalPolitics
7 Nov 2022 • 4:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan (PH) di Penampang, Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan beliau untuk meneruskan perjuangan yang telah dimulakan di Kg Maang, Penampang.

Beliau berkata, penglibatan awal beliau dalam kepimpinan bermula dengan penglibatan dalam tindakan membantah cadangan pemindahan setinggan dari Sri Tanjung, Putatan ke Kg Maang, Penampang pada tahun 2006.

“Selepas tamat pengajian di universiti dan memulakan tugas sebagai Ketua Komulakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), saya terlibat dalam tindakan membantah cadangan pemindahan setinggan Sri Tanjung ke Kg Maang, terlibat menyediakan memorandum bantahan dan sama-sama berhimpun bersama rakyat Penampang membantah cadangan tersebut.

“Jika cadangan tersebut dilaksanakan ketika itu, penduduk Kadazan di Kg Maang akan ditenggelami dengan pendatang asing. Mereka akan merebak ke kampung-kampung lain termasuk Donggongon. Penduduk Kg Maang juga menyatakan penghargaan mereka hari ini kerana bantahan keras itu telah memastikan kampung mereka bebas pendatang asing.

“Mujurlah dengan bantahan keras Wakil-Wakil Rakyat Upko seperti Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Philip Lasimbang, Datuk Donald Mojuntin dan jawatankuasa tindakan yang diketuai oleh Fred Moosom serta semua rakyat Penampang, cadangan itu tidak dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Menurut Ewon lagi, berikutan bantahan keras Upko terhadap cadangan kerajaan itu, beberapa Wakil Rakyat Umno telah mencabar Upko keluar daripada Barisan Nasional (BN) ketika itu.

“Justeru saya mahu meneruskan apa yang telah saya mulakan di Kg Maang. Saya telah bermula di Penampang dan bersedia untuk meneruskan perkhidmatan dan perjuangan saya untuk Penampang,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam pelancaran jelajah kempen Harapan ‘Kita Boleh’ Penampang di Kg Maang selepas selesai penamaan calon tengahari Sabtu lepas.

Turut memberi ucapan pada pelancaran tersebut ialah Tan Sri Bernard Dompok, Jannie Lasimbang, Datuk Donald Mojuntin, Datuk Philip Lasimbang, Datuk Marcus Mojigoh, Joseph Alex Chang dan Fred Moosom.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.