'Saya manusia biasa, ada ketidaksempurnaan' - Coretan pengurus Siti Nurhaliza menyentuh hati

Family & ParentingLifestyle
19 May 2026 • 2:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya manusia biasa, ada ketidaksempurnaan' - Coretan pengurus Siti Nurhaliza menyentuh hati
Rozi bersama Siti Nurhaliza.
Image from: 'Saya manusia biasa, ada ketidaksempurnaan' - Coretan pengurus Siti Nurhaliza menyentuh hati
Kak Zie sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada anak-anaknya yang sentiasa menghargai dirinya sebagai seorang ibu.
Image from: 'Saya manusia biasa, ada ketidaksempurnaan' - Coretan pengurus Siti Nurhaliza menyentuh hati
Rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan perhatian dan kasih sayang yang tidak pernah luntur demi memastikan keperluan anak-anaknya terjaga sebelum memulakan hari.

KASIH seorang ibu sememangnya tiada sempadan, malah setiap hela nafasnya sentiasa dipenuhi dengan doa dan pengorbanan demi kebahagiaan permata hati.

Begitulah gambaran paling tepat menterjemahkan nukilan syahdu yang dititipkan oleh pengurus kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Rozi Abdul Razak sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.

@rozisangdewi benar-benar menyentuh emosi sesiapa sahaja yang membaca, sekali gus membuktikan betapa indahnya perjalanan seorang wanita bergelar ibu.

Bagi Kak Zie, setiap hari yang dilalui merupakan satu catatan perjalanan yang sangat berharga dalam mendidik anak-anak.

Rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan perhatian dan kasih sayang yang tidak pernah luntur demi memastikan keperluan anak-anaknya terjaga sebelum memulakan hari.

"Setiap hari adalah catatan perjalanan seorang ibu. Bermula seawal pagi membancuh kasih dalam setiap hidangan, memastikan tiada perut yang lapar sebelum melangkah keluar rumah," luahnya dalam coretan tersebut.

Fasa kehidupan wanita hebat ini berubah sepenuhnya apabila takdir ALLAH SWT menetapkan bermulanya tanggungjawab memegang amanah sebagai seorang ibu sewaktu usianya mencecah 26 tahun.

**media[3525689]**

Kini, masa begitu pantas berlalu meninggalkan memori indah yang tidak akan pernah padam dalam rakaman hidupnya.

"ALLAH takdirkan pada usia 26 tahun, saya mula bergelar ibu dan kini dua putera dan seorang puteri tumbuh dalam detik rakaman yang tidak pernah padam," kongsi Kak Zie penuh kesyukuran.

Masa pastinya terus berganjak dan usia pula seiring bergerak.

Meniti usia matang, Kak Zie menyifatkan setiap garis perubahan yang mula kelihatan di wajahnya bukanlah sekadar tanda penuaan semata-mata, melainkan sebuah kamus pengorbanan seorang wanita.

"Waktu pasti berganjak, usia juga seiringnya bergerak, setiap perubahan di wajah bukanlah tanda usia semata, melainkan peta perjalanan cinta yang ditulis dengan pengorbanan yang tidak pernah mahu ditagih balasannya," coretnya lagi dengan bait-bait kata yang cukup mendalam.

Di sebalik ketegasan dan dedikasinya dalam dunia pengurusan kerjaya seni, dia tetap meluahkan rasa rendah diri dan bersyukur dikurniakan keluarga kecil yang sentiasa saling menyayangi.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana meski saya seorang ibu, saya jua manusia biasa. Ada ketidaksempurnaan, ada kelemahan.

"Semoga ALLAH pelihara keluarga kecil saya ini dan sentiasa di dalam lindungan-Nya selalu," katanya.

**media[3525687]**

Momen indah sambutan Hari Ibu itu menjadi lebih bermakna apabila wanita itu berkongsi sekeping foto gembira selepas menikmati makan tengah hari yang dibelanja oleh anak teruna sulungnya, yang kini sudah pun menginjak ke usia 26 tahun.

Kak Zie sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada anak-anaknya yang sentiasa menghargai dirinya sebagai seorang ibu.

Perkongsian yang penuh kehangatan keluarga itu terus dihujani pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang rata-ratanya kagum melihat keakraban mereka.

Malah, ramai yang memuji penampilannya yang kekal anggun, segak, dan kelihatan sangat muda sehingga ada yang tidak menyangka beliau sudah memiliki anak-anak yang telah dewasa.

Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut menarik perhatian seorang warganet yang mengambil kesempatan untuk bertanya mengenai bakat seni anak-anak Kak Zie, memandangkan mereka semua dilihat sangat merendah diri dan 'low profile'.

Menjawab pertanyaan tersebut, dia mendedahkan yang setakat ini dua lagi anaknya mungkin sekadar mempunyai bakat terpendam.

"Yang tunjuk bakat seni yang sulung sahaja, sekarang dah ada ijazah dalam pengurusan perniagaan muzik.

"Dua orang lagi tu bakat terpendam kot, nyanyi sendiri-sendiri," ulas Kak Zie mesra bagi menjawab pertanyaan pengikutnya itu. - SinarPlus

 

 

View Original Article