'Saya masih memerlukan sokongan emosi' - Amyza Aznan

LocalFamily & Parenting
10 Mar 2026 • 11:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (kiri) memeluk pelakon Amyza Aznan ketika bertemu pada program Ziarah Seni Madani Finas di Kota Media, Angkasapuri hari ini. Foto Bernama.

PELAKON Amyza Aznan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan moral kepadanya selepas melalui tempoh sukar susulan pemergian anak sulungnya baru-baru ini.

Amyza, 50, berkata, walaupun sudah dua minggu berlalu sejak kehilangan anaknya, Andre Mikhail, 20, akibat kanser paru-paru tahap tiga pada 23 Februari lalu, dia masih memerlukan kekuatan emosi untuk menghadapi ujian tersebut.

“Walaupun sudah dua minggu, saya masih memerlukan sokongan emosi. Terima kasih kerana mengambil berat tentang saya dan anak saya. Hanya ALLAH saja yang mampu membalas segala-galanya,” katanya sambil menahan sebak.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menerusi program Ziarah Seni MADANI@FINAS di Kota Media, Angkasapuri di sini hari ini.

Amyza turut memaklumkan pertemuan itu pada asalnya dirancang untuk diadakan di kediamannya, namun terpaksa diubah lokasi kerana dia masih belum bersedia untuk menerima kunjungan di rumah.

Dalam pada itu, Amyza turut berdepan ujian seterusnya apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, disahkan menghidap kanser tulang.

Sementara itu, Nie Ching berkata, kunjungannya adalah sebagai tanda sokongan serta untuk menyampaikan sumbangan peribadi kepada Amyza agar dapat memberi sedikit kekuatan kepada pelakon berkenaan.

“Beliau kini melalui satu tempoh yang amat menguji. Sebagai seorang ibu, saya memahaminya. Kita berharap masa depan mereka, terutamanya dari segi kesihatan dan emosi dijaga dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Nie Ching memaklumkan seramai 183 penggiat industri perfileman telah menerima manfaat berjumlah RM144,900 menerusi program Ziarah MADANI@FINAS yang dilaksanakan sejak 2023.

Beliau berkata, inisiatif kebajikan yang diterajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu bertujuan membantu pelakon dan seniman industri kreatif yang memerlukan sokongan khususnya dari segi kebajikan serta kesejahteraan hidup.

Menurutnya, pada tahun pertama pelaksanaan program itu, lapan penerima menerima sumbangan berjumlah RM10,900 sebelum meningkat kepada 49 penerima dengan jumlah RM47,000 pada 2024.

“Pada tahun lepas pula, seramai 123 penerima menerima bantuan berjumlah RM82,000, manakala setakat 10 Mac tahun ini tiga penerima telah menerima sumbangan sebanyak RM5,000.

“Sasaran FINAS pada 2026 adalah untuk menyampaikan sumbangan ini kepada sekurang-kurangnya 100 orang pelakon atau seniman,” katanya. - Bernama