
KUALA LUMPUR - “Saya diiktiraf secara rasmi sebagai Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA),”.
Itu jawapan Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali susulan kenyataan dibuat Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin yang mendakwa dirinya sebagai Pemangku Presiden.
Tegas Iqbal, kedudukan beliau sebagai Presiden MCA diiktiraf Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
“Pengiktirafan sama diberikan ke atas Dr Arun Kumar Beshamber Nath selaku Timbalan Presiden dan Amarjeet Singh Wazir Singh (Bendahari Kehormat).
“Mahnorizal Mahat dan Ahmad Salman Othman, yang telah menarik semula peletakan jawatan masing-masing pula kekal sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Beliau memberitahu, Ahmad Feisal tidak berhak mendakwa dirinya sebagai Pemangku Presiden kerana tiada asas perlembagaan atau undang-undang yang membolehkan beliau mengambil alih jawatan tersebut.
“Tindakannya mencabar Perlembagaan MCA dan Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Mesyuarat Agung Tahunan (BGM 2025) yang dijadualkan pada 27 April 2025 juga tidak sah dan tidak berperlembagaan,” katanya.
Ahmad Feisal menerusi laporan disiarkan sebuah portal berita hari ini mendakwa dirinya sebagai Pemangku Presiden, dan menuduh Iqbal serta beberapa ahli jawatankuasa lain campur tangan dalam urusan persatuan.
Dakwa Ahmad Feisal, campur tangan itu mencakupi kenyataan dibuat Iqbal bahawa AGM yang dijadualkan esok telah ditangguhkan.
Selain Iqbal, beliau turut menamakan Dr Arun Kumar, Amarjeet Singh, Mahnorizal Mahat dan Ahmad Salman sebagai bekas ahli yang terbabit dalam campur tangan itu.
Dalam perkembangan berkaitan Iqbal berkata, sebarang keputusan yang dicapai pada mesyuarat berkenaan, dengan sendirinya terbatal dan tidak mempunyai kesan dari aspek perundangan.
“Ia adalah perhimpunan tanpa kuasa sah.
“Semua ahli gabungan negeri, ahli bersekutu, dan pemegang taruh kriket perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab bagi mempertahankan integriti sukan ini,” katanya.
Beliau memberi amaran, sebarang penglibatan yang tidak berperlembagaan boleh dikenakan tindakan di bawah Perlembagaan MCA dan undang-undang negara, termasuk Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Kriket Malaysia mesti dipimpin berasaskan undang-undang, kehormatan dan keikhlasan — bukan melalui kepentingan peribadi dan penyelewengan.
“Jangan kita bersubahat dan mengkhianati nilai-nilai murni yang kita ikrarkan. Bertindaklah dengan bijaksana demi masa depan kriket tanah air,” katanya. - Getaran, 26 Mei 2025


