
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Kriket Malaysia (MCA) telah ditangguhkan kepada 25 Mei depan, bagi memberi laluan kepada persatuan itu untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Mesyuarat terbabit sepatutnya diadakan 27 April nanti.
Presiden MCA, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali menerusi satu Notis Penangguhan memberitahu, penangguhan terbabit selaras dengan Klausa 15.4(i) Perlembagaan MCA.
Menurut beliau, keputusan itu juga dibuat atas nasihat Pesuruhjaya Sukan.
“Segala perkara berkaitan dengan agenda mesyuarat seperti yang dimaklumkan dalam notis bertarikh 3 Februari lalu kekal tidak berubah dan masih sah,” katanya.
Jelas Iqbal, penangguhan itu diputuskan susulan beberapa isu, termasuk laporan polis yang dibuat baru-baru ini.
Laporan berkenaan katanya, melibatkan pelbagai pihak termasuk individu dalam MCA, ahli gabungan negeri serta pemegang taruh lain.
Pihak persatuan juga tambah beliau, telah melantik penasihat undang-undang bagi memulakan prosiding perundangan yang bersesuaian.
“Tindakan ini akan dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan MCA, Akta Pembangunan Sukan 1997 dan semua undang-undang yang terpakai di Malaysia.
“Penangguhan ini bertujuan memberi ruang kepada MCA untuk menyelesaikan segala isu dalaman agar mesyuarat dapat dijalankan dengan penuh ketelusan demi kepentingan kriket negara,” katanya.
Iqbal menarik perhatian, MCA akan membuat bayaran balik untuk semua kos berkaitan perjalanan dan penginapan yang telah ditanggung oleh pihak-pihak berkepentingan bagi menghadiri AGM tersebut.
Sementara itu dalam surat yang diterima Getaran, Iqbal berkata, AGM terbabit menghadapi krisis kredibiliti dan ketidakseimbangan perlembagaan berikutan pelbagai aduan yang belum diselesaikan.
Ia juga katanya, dicemari dakwaan salah laku oleh beberapa ahli gabungan.
“Sebagai penjaga integriti berdasarkan kuasa perundangan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), saya dengan penuh hormat memohon campur tangan segera bagi menangani kebimbangan yang semakin memuncak,” katanya dalam surat tersebut.
Difahamkan, Iqbal telah menerima pelbagai pencalonan untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden, namun beliau memilih untuk tidak bertanding.
Beliau juga bertegas tidak akan memegang sebarang jawatan dalam barisan Exco baharu, bagi memberi tumpuan kepada usaha untuk memulihkan reputasi serta kredibiliti MCA.
Iqbal berkata langkah tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang tuduhan serta memastikan segala isu diselesaikan sepenuhnya sebelum peralihan kuasa kepada pimpinan baharu.
Getaran beberapa hari lalu melaporkan, MCA mendesak campur tangan Pesuruhjaya Sukan berhubung salah laku yang dikesan wujud dalam persatuan. - Getaran, 25 April 2025


