
ALOR SETAR – Seorang anak tidak menyangka momen ibunya mendukung dan memujuk cucu yang meragam tengah malam tadi menjadi kenangan terakhir sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Batu Pengasah, Durian Burung dekat Kuala Nerang, hari ini.
Menurut Muhammad Najmi Mohammad Harun, 28, dia mendapat tahu ibunya, Rosna Lateh, 55, dan adik, Muhammad Najid Ryusdi, 21, terlibat kemalangan daripada isterinya pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya yang ketika itu dalam perjalanan ke pejabat terus bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik sampai di sana, ibu sudah meninggal dunia, manakala adik dibawa ke Hospital Kuala Nerang.
“Keadaan kenderaan remuk dengan besi penghadang jalan masuk (tembus) bahagian depan kenderaan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Katanya, arwah ibunya mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk parah pada kaki dipercayai akibat terkena besi penghadang jalan, manakala adik lelakinya itu tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, katanya, kali terakhir dia bertemu ibunya adalah pada pagi tadi sebelum dia keluar bekerja, namun tidak sempat berbual.
“Ibu dan adik difahamkan dalam perjalanan ke sebuah rumah kami lagi di Durian Burung sebelum terlibat kemalangan. Ibu cuti hari ini kerana ada urusan.
“Cuma malam tadi, ibu sempat dukung anak saya yang baru berusia tiga bulan kerana meragam. Anak saya itu memang suka bila neneknya dukung. Itulah kenangan terakhir yang saya ingat sehingga saat ini,” katanya.
Kata Muhammad Najmi, arwah ibunya juga sebelum ini berulang-alik ke HSB untuk menjaga bapanya yang dimasukkan ke wad hospital itu bagi mendapatkan rawatan akibat penyakit kencing manis.
“Ayah saya menerima rawatan di HSB sejak kira-kira sebulan lalu yang mana selepas selesai bertugas di sekolah, ibu akan pulang ke rumah untuk memasak lauk untuk ayah di hospital.
“Hampir setiap hari ibu akan menjenguk ayah di hospital. Tak sangka hari ini ayah pula dibawa datang ke bilik mayat dengan berkerusi roda untuk tengok ibu. Ayah reda dengan pemergian ibu,” jelasnya.
Tambahnya, arwah ibunya merupakan seorang guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah di daerah Padang Terap dan sangat menitikberatkan soal agama dalam keluarga.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza dipandu anaknya terbabas dan melanggar penghadang besi di Kilometer 8 Jalan Batu Pengasah, Durian Burung kira-kira pukul 7.35 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya masih terbayang arwah ibu dukung, pujuk cucu meragam’ appeared first on Kosmo Digital.

