KUALA LUMPUR- [DIKEMAS KINI] Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin memberitahu ada pihak yang cuba menghalangnya menghadiri taklimat berkaitan hala tuju dan reset politik di sini pada Sabtu.
Tegasnya beliau tetap hadir demi menentukan hala tuju parti ke arah yang lebih baik.
"Hari ini ada sahabat minta saya tidak datang, bagi ucapan tetapi saya memilih untuk hadir dan berucap kerana saya yakin hidup ini adalah pilihan dan pilihan memerlukan pengorbanan.
"Jadi saudara-saudari jangan khuatir kerana kitalah yang sepatutnya menentukan ke mana parti ini patut pergi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program itu di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini pada Sabtu yang turut dihadiri oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dalam pada itu Mas Ermieyati turut meluahkan rasa bimbang dengan nasib Melaka kerana negeri itu bakal diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ujarnya juga, tidak mahu bergaduh sesama rakan dalam parti dan mahu menghentikanya.
Justeru katanya, beliau berharap dengan adanya taklimat berkenaan suaranya akan didengari oleh Bersatu.
Pada Jumaat, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan 17 ahli termasuk Timbalan Presiden, Hamzah.
Ahli Parlimen Larut itu dipecat hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana tindakan Ahli Parlimen Larut tersebut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Menurut Fasal 9.1.4, setiap ahli wajib mematuhi Perlembagaan parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti.
