
PETALING JAYA – Seorang pensyarah di TVET Mara Johor Bahru tampil mempertahankan pelajarnya yang maut ketika dalam perjalanan pulang dari Himpunan RXZ Members 8.0 selepas mendakwa terkesan dengan kecaman terhadap Allahyarham.
Nor Shazwani Shamshudin menerusi satu hantaran di Facebook semalam berkata, beliau berasa sedih dengan kata-kata kesat termasuk hantaran fitnah yang ditujukan kepada pelajarnya itu.
Menurutnya, walaupun beliau bukan penyokong program permotoran seperti Himpunan RXZ Members, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina individu yang telah meninggal dunia.
“Saya bukan orang yang menyokong event (acara) permotoran seperti ini. Tetapi saya juga tidak menyatakan bantahan dengan makian atau kecaman.
“Bagaimanapun, apabila membaca komen netizen terhadap Allahyarham Bakhtiar, saya menangis,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, maut selepas motosikal Honda Vario yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 354, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Dungun, petang Ahad ketika dalam perjalanan pulang daripada Himpunan RXZ Members 8.0.
Bercerita lanjut, Nor Shazwani berkata, Allahyarham Muhammad Bakhtiar merupakan antara pelajar terbaik pernah dikenalinya sepanjang lebih sedekad bergelar pendidik.
Tambahnya, Allahyarham bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki akhlak yang tinggi serta sentiasa menjaga hubungan baik dengan pensyarah dan rakan-rakan termasuk digelar sebagai ‘geng surau’.
“Allahyarham adalah seorang pelajar cemerlang. Bukan hanya akademik bahkan sahsiah. Jujur berbelas-belas tahun saya mengajar, awak antara pelajar paling baik saya pernah kenal,” luahnya.
Dalam pada itu, Nor Shazwani memaklumkan beliau difahamkan Allahyarham gemar mengembara dan mencari pengalaman baharu, namun menyifatkan pemergian pelajarnya itu sebagai ketentuan Ilahi.
“Berdasarkan pembacaan, Allahyarham terbabas bersendirian. Mungkin penat, mungkin mengantuk atau mungkin akibat jalan licin.
“Siapalah kita hendak melawan takdir dan kehendak Allah. Suratan telah menetapkan nyawa Allahyarham diambil di atas lebuh raya,” katanya.
Beliau turut merayu orang ramai supaya menghentikan kecaman terhadap Allahyarham, sebaliknya bersama-sama mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan hamba yang dikasihi Allah serta keluarga diberikan kekuatan menghadapi kehilangan itu.
“Bakhtiar, saya saksi kemuliaan sifat dan sikap awak. Bagaimana awak memuliakan kami para pensyarah, semoga roh awak juga dimuliakan oleh Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
“Senyuman yang tidak lekang dari bibir awak, pasti menjadi kenangan kepada kami,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kemalangan Allahyarham Muhammad Bakhtiar kira-kira pukul 3 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal secara bersendirian dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan, menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya menangis baca komen tentang arwah’ appeared first on Kosmo Digital.


