'Saya mengaku buat salah, tapi KJ ada juga silap' – Ahmad Zahid

LocalPolitics
2 May 2026 • 9:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya mengaku buat salah, tapi KJ ada juga silap' – Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengakui beliau tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dalam kemelut parti itu sebelum ini yang membawa kepada pemecatan keahlian Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO turut melakukan kesalahan tertentu.

“Kita mesti berani mengakui kesilapan lalu. Untuk KJ, ya saya (mengaku saya) buat salah tapi kamu juga ada buat silap.

“Jadi kita mesti memperbaiki kelemahan kita, kita harus berani mengakui kesilapan lalu. Kita mesti memperbaiki kelemahan, bijak mencipta perubahan dan mengelakkan dari terjerumus ke kancah perpecahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Pada 17 April lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Melaka memutuskan untuk menerima kembali Khairy ke dalam parti itu di bawah gagasan Rumah Bangsa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti turut bersetuju untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana 6,252 ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.

Menurut beliau, keputusan tersebut selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Ahmad Zahid bagi membuka ruang kepada mana-mana bekas ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti untuk kembali tanpa syarat.

Pada Januari 2023, MKT UMNO mengumumkan pemecatan Khairy dan Tan Sri Noh Omar daripada parti itu manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama tiga yang lain pula digantung keahlian selama enam tahun.

Pemecatan Khairy itu atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menggesa semua agli UMNO untuk menyusun semula semula kemenangan mereka dan mempersiapkan jentera menghadapi ‘peperangan’.

“Marilah kita bersama melakar kembali masa depan. Marilah kita bangkit sebagai satu saf, satu suara dan satu kekuatan.

“Saya tidak menjanjikan jalan yang mudah. Saya juga tidak menjanjikan perjuangan ini akan bebas daripada ujian dan pancaroba tetapi apa yang saya boleh janjikan, selagi saya diberikan kepercayaan saya akan terus berkorban demi meneruskan legasi perjuangan ini,” tegasnya.