Saya meragui PAS tetapi PASTI sangat berjaya: Hanipa

LocalPolitics
25 Jan 2024 • 6:59 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Bekas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berharap Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), tadika milik PAS tidak termasuk dalam pelarasan sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, walaupun meragui PAS yang menggugurkan keahliannya pada 2015, beliau memuji pencapaian besar PASTI yang dianggap antara prasekolah terbaik di Malaysia ketika ini.

“Putrajaya membuat keputusan untuk memperkemas sistem pendidikan prasekolah. Saya harap kerajaan Madani tidak akan ‘mengganggu’ PASTI yang dikendalikan oleh PAS.

“Saya mungkin mempunyai beberapa keraguan mengenai PAS tetapi PASTI sangat berjaya!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

image is not available
Mohamed Hanipa Maidin berharap PASTI tidak termasuk dalam pelarasan sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan. - Gambar Bernama, 25 Januari, 2024

Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan mutu pendidikan peringkat tadika.

Terdapat beberapa sistem pendidikan prasekolah yang berbeza di Malaysia.

Ketika ini, tiga kementerian iaitu KPM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Perpaduan Negara masing-masing mengendalikan tiga tadika berbeza, sementara beberapa jabatan agama Islam negeri juga memiliki tadika sendiri.

Selain itu, ada juga sistem yang ditawarkan entiti swasta, termasuk PASTI yang dikendalikan PAS.

Ketika ditanya jika penyelarasan itu juga akan melibatkan prasekolah swasta, Fahmi berpandangan ia akan dibuat secara "menyeluruh", berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Namun, katanya, maklumat terperinci berkenaan perkara itu akan diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam masa terdekat. – 25 Januari, 2024