‘Saya mesti kuat lawan kanser demi anak-anak’

Health & FitnessFamily & Parenting
9 Oct 2026 • 8:11 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Saya mesti kuat lawan kanser demi anak-anak’

PADANG BESAR: Kasih sayang terhadap anak-anak menjadi penguat semangat kepada seorang ibu tunggal untuk terus bertahan melawan kanser payu­dara tahap empat yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.

Salbiah Jamili, 41, dari Kampung Kubang Perun, Chuping di sini yang turut telah kematian suami sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar kembali sembuh seperti sedia kala kerana empat anaknya berusia antara 18 dan tiga tahun itu masih memerlukan perhatian seorang ibu.

Dia disahkan menghidap kanser ketika sarat mengandung anak bongsunya yang kini berusia tiga tahun dan dalam tempoh sama ketika itu terpaksa menerima hakikat kehilangan suami akibat darah tinggi di usia 46 tahun.

Katanya, meskipun dugaan menimpa, dia harus kuat demi kelangsungan hidup anak-anak yang masih bersekolah termasuk anak sulung berusia 18 tahun yang mengikuti program kete­rampilan kimpalan di Shah Alam, Selangor.

“Dua lagi anak saya iaitu yang berusia 14 tahun juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) serta yang berusia 11 tahun, masing-masing masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Jaafar Hassan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka.

“Anak sulung saya kini mengikuti program inisiatif latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang mendapat tajaan penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM) khusus untuk golongan asnaf dan B40.

“Dia (anak sulung) kini tinggal di asrama bagi mengikuti kursus empat bulan bermula Ogos lalu dengan menerima elaun RM400 sebulan dan dijangka mula be­kerja pada November ini,” kata­nya ketika ditemui di sini semalam.

Salbiah berkata, dia menjalani rawatan kemoterapi dan keadaan kesihatan pernah merosot teruk pada Februari lalu sehingga ditahan di wad hospital selama 10 hari.

Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan untuk keperluan harian.

“Selain itu, saudara-mara juga ada membantu selain pihak masjid mengutip sumbangan untuk kami. Penduduk setempat juga juga banyak membantu terutama ketika saya dimasukkan ke hospital sebelum ini,” katanya.

Dia turut menzahirkan rasa syukur disebalik pelbagai kesusahan sekurang-kurangnya mereka sekeluarga dapat menduduki kediaman sendiri hasil sumbangan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).-UTUSAN.

The post ‘Saya mesti kuat lawan kanser demi anak-anak’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved