
PELAKON Izreen Azminda dan bekas madunya, Intan Liana Salleh berkongsi momen bermaafan selepas beberapa tahun bertelagah.
Menerusi Instagram, Izreen atau nama penuhnya Izreen Azminda Aznam, 41, memuat naik foto bersama Intan dan berharap hubungan baik kekal demi keluarga terutama cahaya mata mereka.
"Syukur Alhamdulillah ya ALLAH akhirnya pertikaian antara kami dapat diselesaikan secara baik. Terima kasih Intan.
" Harapan saya agar selepas ini hubungan yang terjalin dapat lebih terpelihara demi kebahagiaan kita bersama, terutamanya untuk anak-anak," titipnya.
Dalam pada itu, pelakon filem Blok 404 berkenaan memohon kemaafan telah menggores hati Intan.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika sebarang tindakan atau perbuatan saya sebelum ini yang menggores hati Intan dan mana-mana pihak.
"Segala perkongsian atau penulisan saya selepas ini adalah bersifat peribadi dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak.
"Semoga ALLAH sentiasa menjaga dan memelihara hubungan kita ke arah yang lebih baik, insya-ALLAH, " luah Izreen.
Dalam pada itu, ibu kepada empat cahaya mata itu berharap ikatan jernih itu sentiasa diredai-NYA.
"Terima kasih skali lagi Intan. Ya ALLAH jagalah & lindungilah hubungan ini sebaiknya.
"Semoga ikatan yang terjalin semula ini sentiasa dalam pelukan ALLAH SWT, aamiin," kongsinya.
Terdahulu, Izreen berkahwin dengan pemuzik Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude pada 8 Ogos 2017 sebagai isteri kedua.
Ude dan Intan kemudian berpisah pada 22 Mac 2018 selepas pemuzik itu melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.




