'Saya nak anak cari harta sendiri' – Aliff Syukri mula beli rumah umur 19, kini miliki 200 hartanah termasuk Di Indonesia & London

13 Apr 2026 • 9:35 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KALAU sebut nama Datuk Sri Aliff Syukri, ramai terus bayangkan gaya hidup mewah, kereta mahal dan kehidupan penuh glamor.

Namun, di sebalik semua itu, ada satu sisi yang lebih ‘senyap’ tetapi sebenarnya paling kuat membina kekayaannya, hartanah.

Menariknya, perjalanan itu bukan bermula ketika dia sudah kaya, tetapi seawal usia 19 tahun.

Ketika ramai masih tercari-cari arah hidup, Aliff sudah mula membeli rumah pertamanya, dengan satu fikiran yang cukup jujur, dia takut akan masa depan.

“Dulu saya berniaga, saya tak sangka boleh bertahan lama. Saya ingat mungkin satu hari saya akan bankrap.

"Jadi alternatif adalah beli aset, anak pula ramai dan itu buat saya terfikir untuk beli rumah buat anak-anak setiap satu dengan lokasi berbeza,” kongsinya.

Daripada rasa takut itulah lahir satu keputusan penting, kumpul aset. Dan aset yang dipilih bukan kereta atau barangan mewah, tetapi rumah.

Dengan jumlah hartanah yang dimilikinya kini, ramai mungkin beranggapan setiap anaknya sudah tersedia rumah masing-masing.

Namun hakikatnya berbeza. Dedah Datin Sri Shahida pula, mereka suami isteri mempunyai prinsip tersendiri dalam mendidik anak-anak.

Pasangan tersebut tidak melihat semua itu sebagai warisan untuk anak-anak semata-mata.

“Memang setiap anak ada rumah, tapi saya tak pernah letakkan itu untuk mereka,” katanya.

Baginya, sebagai ibu bapa, tanggungjawab utama adalah menyediakan pendidikan, kemudahan asas dan peluang terbaik.

Selebihnya, anak-anak perlu belajar berdikari dan membina kekayaan sendiri.

“Tetapi soal harta, saya mahu mereka belajar berdikari. Kami dah bagi pelajaran, pendidikan, apa yang patut. Bila besar, saya nak mereka pandai cari harta sendiri.

"Pun begitu kami tetap sediakan kemudahan buat mereka termasuklah kereta untuk ke kolej misalnya atau sediakan bayaran untuk belajar dan sebagainya.

"Cuma tidaklah ditetapkan mana-mana rumah untuk mana-mana anak,” tegasnya.

Pendekatan ini jelas menunjukkan bahawa walaupun hidup dalam kemewahan, nilai usaha dan berdikari tetap menjadi keutamaan dalam keluarganya.

image is not available

“Bukan rumah mewah. Ini untuk akses masa depan. Rumah dalam kategori ini lebih mudah disewakan kerana majoriti rakyat Malaysia berada dalam julat pendapatan sederhana.

"Waktu itu saya beli pada usia 19 tahun. Umur 21 tahun saya berjaya beli kondominium yang berharga RM210,000 sekarang harganya melonjak kepada RM700,000 harganya," dedah bapa kepada enam cahaya mata itu pula.

Itulah ‘game’ sebenar hartanah yang Aliff nampak lebih awal, nilai yang perlahan tetapi konsisten naik, tanpa perlu terlalu bergantung kepada turun naik perniagaan.

Hasil konsistensi selama bertahun-tahun, Aliff mengakui kini memiliki sekitar 200 buah rumah.

Majoriti hartanahnya merangkumi negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Pahang dan Johor dengan fokus utama pada rumah mampu milik.

Persediaan hari tua

Jumlah itu juga bukan hanya tertumpu di Malaysia, tetapi turut melibatkan hartanah di luar negara seperti Indonesia dan juga sebuah unit di London.

Namun apa yang lebih menarik, majoriti rumahnya bukanlah kategori mewah.

image is not available

"Pada waktu itu, saya beli sekadar tempat untuk didiami. Siapa sangka akhirnya bertukar menajdi rumah sewa.

"Saya memilih rumah kos rendah terutama apartment, kondo atau teres. Kami jadikan ia sebagai rumah sewa di bawah Aliff Syukri Properties," kongsinya kepada SinarPlus ketika ditemui di majlis rumah terbuka beliau baru-baru ini. 

Bagi Aliff, rumah-rumah yang dibeli lebih kepada jaminan untuk dirinya dan isteri, termasuk sebagai persediaan hari tua.

Apa yang membezakan pendekatan Aliff Syukri ialah dia tidak terikut-ikut dengan trend rumah mewah atau banglo eksklusif.

Sebaliknya, dia memilih rumah yang ‘berfungsi’, mudah disewa, harga mampu milik dan ada permintaan tinggi.

Logiknya mudah. Golongan berpendapatan sederhana jauh lebih ramai, jadi kebarangkalian rumah disewa lebih tinggi.

image is not available

Pun begitu, bapa kepada Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah, dan yang bongsu, Luqman Al-Hakim itu mengakui terpaksa berhadapan dengan cabaran terutama penyewa culas atau lari.

Pun begitu, beliau anggap itu sebahagian daripada risiko biasa.

Dalam masa sama, dia turut mengakui satu perkara penting, perniagaan kosmetik yang membesarkan namanya bukan sesuatu yang boleh dijadikan sandaran selamanya.

“Kita tak boleh harap kosmetik sahaja.

"Lagipun saya pantang tengok hartanah, nampak sahaja iklan terpampang di tepi jalan 'gatal tangan' nak beli,” katanya sambil tertawa ringkas tetapi penuh makna.