SHAH ALAM – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berseloroh menyatakan hasrat untuk menikmati nasi minyak kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Istilah nasi minyak sinonim dengan gurauan masyarakat yang menggambarkan keterujaan menghadiri majlis perkahwinan atau ditujukan kepada pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga.
Perkara itu dikongsikan Steven menerusi hantaran di Instagram ketika beliau mengunjungi restoran milik pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming, iaitu Rembayung pada Rabu.
“Saya rasa selepas makan di Rembayung ini, saya hendak makan pula nasi minyak. Bila (majlis diadakan)?” katanya secara berseloroh.
**media[3486470]**
Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella yang dikenali dengan gabungan nama BASS selamat melangsungkan pertunangan dalam satu majlis indah pada 28 Mac lalu, selepas ahli politik terbabit melamar penyanyi berkenaan di Gunung Kinabalu, Sabah.
Pada Rabu, Steven berkongsi sebuah foto bungkusan laksa berserta kuah yang dimasak oleh Bella menerusi hantaran di Insta Story miliknya.
Sementara itu, Syed Saddiq juga sempat menitipkan pesanan buat Steven dan berseloroh mengatakan dirinya hanya membantu untuk merasa laksa air tangan tunangnya itu.
Mereka bertiga terdahulu menikmati makan tengah hari di restoran Rembayung.
Dalam pada itu, Steven turut memberikan penilaian terhadap hidangan yang disajikan.
“Saya bagi sembilan daripada 10 markah. Lauk kegemaran saya ialah telur goreng kicap,” ujarnya.

