SHAH ALAM – Seorang lelaki mengaku di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bahawa dia mengurung seorang remaja lelaki berusia 14 tahun kerana mahu mencuri emas di rumah mangsa.
Tertuduh, Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, membuat pengakuan itu ketika prosiding di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Semasa prosiding, tertuduh memaklumkan dia mengikat tangan dan kaki mangsa bagi mendapatkan maklumat sebelum memecah masuk rumah keluarga remaja terbabit.
Dia yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengurung dan mencederakan mangsa turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadapnya.
Majistret: Kenapa kamu kurung mangsa?
Mohamad Fadwan: Saya nak pecah rumah dia sebab nak ambil emas.
Majistret: Apa kaitannya dengan mangsa?
Mohamad Fadwan: Sebelum saya masuk rumah, saya kumpul maklumat daripada dia dulu.
Majistret: Ada tak kami fikir trauma pada kanak-kanak itu?
Mohamad Fadwan: Ya
Majistret: Jadi kenapa kamu masih kurung dan cederakan dia? Kamu dah dewasa, boleh bezakan salah atau betul.
Mohamad Fadwan: Saya mohon hukuman seberat-seberatnya.
Wan Noora Nisa kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap tertuduh bermula Jumaat.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang memakai baju-T berwarna merah berbelang hitam itu didakwa mengurung mangsa ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan dengan mengikat tangan dan kaki remaja berkenaan di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32 di sini antara jam 8.05 pagi hingga 11.50 pagi pada 11 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, pada waktu, tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman serupa.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan turut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Hakim, Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dikurung, didera dan dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning di sini pada 12 Mei lalu.
Siasatan awal polis mendapati, suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sambil menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang di rumah suspek.
Suspek yang dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang itu mempunyai rekod baru keluar penjara pada April tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru lelaki disyaki kurung, liwat remaja
Penjenayah seksual kurung, liwat remaja 14 tahun diberkas
Kurung, ikat, liwat remaja: Penjenayah seksual sambung reman 5 hari
Kurung, ikat, liwat remaja: Penjenayah seksual akan dituduh dalam masa terdekat





