SHAH ALAM – Seminggu sebelum mengurung dan mengikat remaja lelaki 14 tahun, tertuduh yang juga pemungut hutang, mengaku di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Jumaat, bahawa dia telah merompak seorang wanita warga Indonesia, mencuri motosikal, menyamar sebagai anggota polis dan kes dadah.
Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, membuat pengakuan bersalah selepas empat pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim, Hasniah Ab Razak dan Majistret, Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, lelaki itu dituduh atas satu pertuduhan, merompak seorang pekerja pembersihan warga Indonesia, Aminah Yeni Fernata, 40, di sebuah rumah kedai kosong di Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini, jam 8.45 pagi pada 8 Mei lalu.
Dia didapati menumbuk dan menendang mangsa sehingga mengalami kecederaan lalu melarikan wang RM200, telefon bimbit, permit masuk Malaysia, dua kad ATM bank, lesen memandu Indonesia dan motosikal jenis Suzuki.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret, tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna merah berbelang hitam, didakwa menyamar sebagai seorang penjawat awam iaitu anggota polis, lalu merompak Aminah Yeni, di hadapan sebuah premis di Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini, jam 8.15 pagi tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, duda seorang anak itu didakwa mencuri motosikal milik Muhammad Daniel Amir Ramli, 30, jam 8.45 pagi pada tarikh dan lokasi serupa.
Dia dituduh mengikut seksyen 379A Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis morphine dalam badan sendiri, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam, jam 12.30 tengah hari 15 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.
Ia termasuk menjalani perintah pengawasan oleh pegawai polis bagi tempoh antara dua hingga tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing dan Alia Anisa Khairus Masnan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohamad Fadwan dipenjara enam tahun dan tiga sebatan kerana merompak, mencuri motosikal (penjara satu tahun) dan menyamar (enam bulan).
Mahkamah memerintahkan semua hukuman pemenjaraan berjalan serentak bermula tarikh tangkap,15 Mei lalu.
Bagaimanapun, bagi kes dadah, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Ogos untuk laporan kimia dan fakta kes, sebelum menjatuhkan hukuman.
Pada Jumaat, tertuduh dihukum penjara selama 15 bulan oleh Mahkamah Majistret berasingan, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengurung dan mencederakan remaja Tingkatan Dua itu.






