“Saya pegang pen” – MP Nafi Hisap Vape Dalam Dewan Rakyat

Entertainment
21 Sep 2023 • 10:54 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sebagai seorang ahli politik yang juga pemimpin kepada rakyat, penting untuk mereka ini menunjukkan sikap yang baik supaya dapat menjadi contoh ramai.

Namun baru-baru ini, tular sebuah gambar memaparkan Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz dilihat memasukkan sesuatu ke dalam mulut yang mana ada yang mendakwa ia adalah vape.

Pun begitu, Ikmal telah menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menjelaskan apa yang dipegangnya ketika itu adalah pen, lapor FMT.

Semua orang tahu saya bukan kaki merokok, duduk sebelah orang merokok pun saya tak tahan, apatah lagi merokok, hisap vape jauh sekali,” kata Ikmal.

Ikmal juga pada masa yang sama bersedia untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

Saya boleh memberikan penjelasan, tak ada isu, satu Parlimen Tanah Merah tahu saya bukan perokok, dan saya menyokong (usul pernah dibawa bekas menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin berkaitan had umur 17 tahun tidak boleh membeli rokok, saya sokong 100%,” katanya.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau akan menghantar surat kepada ahli Parlimen tersebut bagi meminta penjelasan.

Jika disabitkan kesalahan, Ikmal boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan Mesyuarat 41 (D) iaitu seseorang ahli tidak boleh merokok di Dewan Mesyuarat.

Sebelum ini juga, pada Ogos 2022, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah dikenakan tindakan kerana menghisap vape dalam Dewan Rakyat.

Sumber: FMT

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.