‘Saya 'quit' sebab tak pandai berlakon, fokus nyanyian’ – Amira Othman pilih haluan sendiri, Fattah Amin beri sokongan penuh

EntertainmentMusic
30 Apr 2026 • 9:40 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Saya 'quit' sebab tak pandai berlakon, fokus nyanyian’ – Amira Othman pilih haluan sendiri, Fattah Amin beri sokongan penuh

KEPUTUSAN untuk melangkah keluar dari zon selesa sering kali menuntut keberanian yang bukan sedikit. 

Namun bagi penyanyi dan pelakon, Amira Othman, keputusan itu hadir dengan keyakinan jelas, jiwanya tetap milik dunia nyanyian, meskipun peluang dalam lakonan terbuka luas di hadapan mata.

Terbaharu, namanya kembali menjadi perhatian menerusi naskhah Poskad Cinta Dari Istanbul terbitan UTV Original. 

Namun di sebalik kemunculan tersebut, Amira tampil jujur mengakui bahawa pentas muzik masih menjadi “rumah” yang paling dekat di hatinya berbanding dunia lakonan.

Image from: ‘Saya 'quit' sebab tak pandai berlakon, fokus nyanyian’ – Amira Othman pilih haluan sendiri, Fattah Amin beri sokongan penuh

Ditemui pada majlis tayangan istimewa drama berkenaan, penyanyi lagu Raya Mana Dulu itu tidak berselindung mengenai pendiriannya. Baginya, pengalaman berlakon sebelum ini lebih kepada ruang pembelajaran dan eksplorasi diri.

“Saya betul-betul dah berhenti dari dunia lakonan. Sebenarnya, saya berlakon sebelum ini pun sebab mahu belajar dan meneroka perkara baharu.

“Sememangnya keutamaan saya adalah bidang nyanyian, lagipun saya bukan pelakon profesional macam Fattah Amin,” selorohnya jujur, bersahaja.

Meski menegaskan fokusnya kini 100 peratus terhadap nyanyian, Amira tidak menutup pintu sepenuhnya. 

Jika ada tawaran istimewa yang bersesuaian dengan masa dan komitmen, terutama melibatkan peranannya sebagai duta, dia masih terbuka untuk mempertimbangkannya.

Image from: ‘Saya 'quit' sebab tak pandai berlakon, fokus nyanyian’ – Amira Othman pilih haluan sendiri, Fattah Amin beri sokongan penuh

Menurut pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman itu, penglibatannya dalam drama berkenaan juga bukan sekadar kebetulan, sebaliknya berkait rapat dengan komitmen sebagai duta Usanita serta hubungan baik bersama Datuk Adzliana Prof Datuk Sri Dr Hasan, atau dikenali sebagai Datuk Nana.

Menariknya, kehadiran suami tercinta sebagai gandingan utama turut menjadi antara faktor yang memudahkan perjalanan sepanjang penggambaran. Bekerja di bawah pengurusan yang memahami juga dianggap satu kelebihan besar buat pasangan ini, apatah lagi dengan jadual masing-masing yang padat.

“Rezeki dapat berlakon dengan suami sendiri, jadi ia memudahkan banyak perkara.

“Lagipun saya rasa tak pandai berlakon. Saya tak ada minat yang mendalam dalam lakonan. Jadi, saya rasa lebih baik fokus pada nyanyian. Cuma bila berkaitan dengan komitmen dalam pengiklanan, jadi saya terima.

“Mujurlah Datuk Nana juga sangat memahami apabila kami perlu menyusun jadual penggambaran yang padat dengan komitmen lain,” kongsinya lagi.

Keserasian suami isteri

Dalam masa sama, Fattah Amin yang turut hadir pada majlis tersebut menyambut baik keputusan isterinya dengan hati terbuka. 

Baginya, kebahagiaan Amira menjadi keutamaan dan sokongan sebagai suami adalah sesuatu yang tidak pernah berbelah bahagi.

Image from: ‘Saya 'quit' sebab tak pandai berlakon, fokus nyanyian’ – Amira Othman pilih haluan sendiri, Fattah Amin beri sokongan penuh

“Saya tak kisah, asalkan Mira gembira. Bila kita buat sesuatu, kita kena seronok. Kita tak mahu buat sebab terpaksa,” ujarnya tenang.

Tambah Fattah lagi, peluang berlakon bersama isteri sendiri memberi kelebihan tersendiri, khususnya dari segi keserasian yang sudah sedia terbina.

“Sudah tentu dalam kerja pengiklanan ini, kita mencari rezeki.

"Bila ada tawaran, dan dapat pula berlakon dengan isteri sendiri, jadi lebih mudah. Lebih-lebih lagi sebagai suami isteri, keserasian itu memang sudah ada. Tapi bukan kita yang tentukan semua itu. Semuanya rezeki.

“Kita pun tak tahu watak apa yang kita akan dapat atau bagaimana skripnya. Kita lihat dahulu, dan bila dapat peluang, kita teruskan,” jelasnya.

Sebagai info, Poskad Cinta Dari Istanbul ditayangkan secara eksklusif di UTV bermula 29 April merupakan sebuah naskhah romantik penuh emosi yang mengetengahkan keindahan kota Istanbul, Turki sebagai latar utama. 

Image from: ‘Saya 'quit' sebab tak pandai berlakon, fokus nyanyian’ – Amira Othman pilih haluan sendiri, Fattah Amin beri sokongan penuh

Selain gandingan suami isteri ini, drama tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nora Danish, Sherry Alhadad, Ajai dan Bell Ngasri.

Dalam dunia seni yang penuh warna, Amira membuktikan bahawa mengenali keutamaan diri adalah kunci utama untuk terus relevan. Tidak perlu menjadi segalanya dalam satu masa, cukup tahu di mana letaknya jiwa dan bagi Amira, jawapannya jelas, di pentas nyanyian.