'Saya rasa hidup sudah sempurna' – Bukan riak tapi bersyukur, Wawa Zainal kongsi pengorbanan ibu bekerjaya & doa kebahagiaan dipanjangkan

EntertainmentLifestyle
13 Mar 2026 • 11:29 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DALAM kesibukan mengurus keluarga dan perniagaan, pelakon serta usahawan Wawa Zainal tidak pernah lupa untuk mensyukuri nikmat yang dimiliki.

Sempena sambutan ulang tahun kelahirannya baru-baru ini, Wawa memilih untuk menyambut hari istimewa itu dengan cara yang cukup bermakna apabila menganjurkan majlis iftar bersama anak-anak yatim.

Majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh keberkatan itu turut dihadiri penceramah terkenal, Ustazah Asma' Harun, yang menyampaikan tazkirah ringkas sebelum para tetamu berbuka puasa.

image is not available

Bagi Wawa, momen seperti ini memberi makna yang lebih mendalam berbanding sambutan yang bersifat glamor semata-mata.

Menurut isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu, usia yang kini mencecah 34 tahun membuatkan dirinya semakin banyak bermuhasabah dan mensyukuri perjalanan hidup yang telah dilalui.

image is not available

“Sejujurnya, Wawa rasa macam dah tak ada benda yang terlalu besar nak diimpikan. Alhamdulillah, banyak yang Allah dah bagi.

"Doa Wawa setiap hari cuma satu, semoga apa yang Wawa ada sekarang ini dipanjangkan,” katanya.

Tambahnya lagi, segala nikmat yang dimiliki hari ini dianggap sebagai pinjaman daripada Tuhan.

Justeru, dia sentiasa berdoa agar kebahagiaan, kecukupan rezeki dan keharmonian keluarga yang dirasai ketika ini terus kekal selagi hayat masih ada.

image is not available

“Wawa selalu doa supaya Allah panjangkan rezeki ini. Wawa nak jadi isteri yang lebih baik untuk Arel. Semua yang Wawa ada sekarang, suami yang baik dan anak-anak yang membahagiakan, buat Wawa rasa hidup ini sudah cukup sempurna,” ujarnya penuh syukur.

Pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin itu bagaimanapun mengakui masih menyimpan satu impian yang belum tercapai, iaitu menimang cahaya mata lagi pada masa hadapan.

“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki Wawa memang nak tambah anak. Doakanlah.

"Cuma bila fikir usia dah 30 lebih, kadang-kadang risau juga. Takut tak sempat nak besarkan anak-anak kalau usia makin meningkat,” katanya jujur.

image is not available

Dilahirkan di Lahad Datu, Sabah, Wawa berkata kehidupannya hari ini banyak berputar sekitar keluarga dan perniagaan yang diusahakan bersama suami.

Walaupun kelihatan sempurna di mata ramai, dia tidak menafikan terdapat cabaran tersendiri yang perlu dilalui setiap hari.

Salah satu cabaran terbesar buatnya adalah mengurus masa antara kerjaya dan keluarga. Sebagai usahawan yang aktif serta ibu kepada empat cahaya mata, Wawa mengakui kadangkala dirinya berasa keletihan kerana perlu mengurus banyak perkara dalam satu masa.

“Cabaran Wawa sebenarnya masa dan tenaga. Usia pun dah 30 lebih, tapi banyak benda kena buat. Kadang-kadang memang penat dan rasa ‘drain’.

"Tapi kita tak boleh terlalu ikut perasaan sebab kita ada team yang bekerja bersama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain dirinya dan suami yang penat bekerja, pasukan mereka juga berdepan tekanan yang sama.

Oleh itu, menjaga emosi dan semangat kerja dalam kalangan semua pihak menjadi perkara penting agar semuanya terus bergerak seiring.

Dalam pada itu, Wawa turut berkongsi perasaan bersalah yang kadangkala hadir sebagai seorang ibu yang sibuk bekerja.

image is not available

Dia mengakui ada kalanya masa bersama anak-anak menjadi terlalu singkat sehingga menimbulkan rasa sayu di hati.

“Kadang-kadang Wawa jumpa anak sekejap saja, mungkin lima minit. Lepas itu dah kena bersiap untuk kerja atau buat live.

"Anak tanya, ‘Mama nak pergi mana?’ Masa itu memang rasa serba salah,” katanya.

Malah, ada satu momen yang cukup menyentuh hatinya apabila salah seorang anak bangun pada awal pagi semata-mata kerana terlalu merinduinya.

“Semalam Wawa balik rumah pukul 3 pagi. Anak sedar dan terus naik ke bilik sebab dia rindu sangat.

"Masa itu memang terasa pengorbanan yang orang lain tak nampak sebenarnya,” kongsinya.

Walaupun jadual kerja padat, Wawa tetap berusaha memastikan masa berkualiti bersama keluarga tidak terabai.

Selepas sambutan Hari Raya nanti, dia merancang untuk membawa anak-anak bercuti sebagai cara menebus masa yang terlepas.

“Insya-ALLAH lepas raya nanti kita bawa anak-anak bercuti. Itu masa untuk tebus balik masa yang mama tak sempat luangkan sebelum ini,” ujarnya.

image is not available

Bagi Wawa, kehidupan yang dilalui hari ini bukan sekadar tentang kejayaan atau kemewahan, tetapi tentang rasa syukur terhadap nikmat kecil yang sering terlepas pandang.

Baginya, kebahagiaan sebenar bukan terletak pada apa yang ingin dicapai lagi, tetapi pada kemampuan menghargai apa yang sudah dimiliki.

Dan dalam usia 34 tahun, itulah doa yang terus dipanjatkan setiap hari, agar segala yang dipinjamkan ini terus kekal hingga ke akhir hayat.