
GEORGE TOWN – “Saya ingat rakyat bukan bodoh. Rakyat sudah pandai. Tak kira siapa, dia (rakyat) tahu menilai semua ini.”
Demikian menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Tanah (Perda), Datuk Ir. Shaik Hussein Mydin, 53, yang juga Ahli Majlis.Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas didakwa atas 15 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Dakwa beliau, kemungkinan wujud unsur intimidasi politik susulan pendakwaan terhadapnya, namun menegaskan tidak menuduh mana-mana pihak berhubung perkara itu.
Menurutnya, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri situasi yang berlaku, selain yakin proses perundangan dapat memberi ruang kepadanya menjelaskan pertuduhan berkenaan.
“Sebagai pemimpin politik, saya mesti kata ini satu intimidasi politik. Saya dapat surat dakwaan semalam dan didakwa pagi ini dengan jaminan RM1 juta serta 15 pertuduhan.
“Tetapi saya ingat rakyat bukan bodoh. Rakyat sudah pandai dan tahu menilai semua ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding yang dijalankan kira-kira hampir sejam itu.
Katanya lagi, beliau sebenarnya menunggu pertuduhan difailkan selepas dibebaskan daripada tahanan reman kira-kira 50 hari sebelum ini.
Katanya, beliau lebih selesa berdepan pertuduhan di mahkamah supaya dapat menjelaskan perkara yang dibangkitkan menerusi proses perundangan.
“Saya sebenarnya memang tunggu dituduh kerana saya lebih suka dituduh untuk saya buktikan salah daripada saya terus tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, Shaik Hussein mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM800,000 bagi projek pembinaan sebuah asrama, antara Jun 2025 hingga 9 Julai lalu.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.
Antara syarat tambahan lain ialah tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya sebenarnya memang tunggu dituduh’- Shaik Hussein appeared first on Kosmo Online.



