liza15/10/2026 - 14:22 Datuk Dr Shaik Hussein Mydin Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt – Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, didakwa atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM847,107.61 berkaitan pelantikan subkontraktor bagi projek menyiapkan asrama terbengkalai dan kemudahan lain di Perda-Tech, Seberang Perai.
Shaik Hussein, 53 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, Shaik Hussein didakwa menerima wang berkenaan daripada pengarah ATSH Management Sdn Bhd, Datuk R Albert Suresh, melalui Aliran Ilham Sdn Bhd sebagai balasan atas pelantikan ATSH Management sebagai subkontraktor bagi menyiapkan projek berkenaan yang bernilai RM23.27 juta.
Didakwa terima rasuah antara 2025 hingga 2026
Shaik Hussein didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam, Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dalam tempoh antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai 2026, lapor The Edge.
Shaik Hussein didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ikat jamin RM300,000, pasport diserahkan kepada mahkamah
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar mencadangkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin serta meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad membantah jumlah ikat jamin itu dan mencadangkan RM200,000.
Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan Shaik Hussein menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Peguamnya, Amer Hamzah, berkata mahkamah menetapkan 8 Januari 2027 untuk pengurusan kes.
Perda ialah agensi kerajaan Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. - DagangNews.com






