
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai isu Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa dianjurkan secara besar-besaran.
Perkara terbabit mendapat perhatian ramai selepas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkongsi beberapa gambar ketika acaran di laman Facebook miliknya.
Terdapat pihak yang mempersoalkan perbelanjaan KKM untuk majlis rumah terbuka itu selepas gambar acara berkenaan menunjukkan sambutan yang meriah termasuk persembahan artis popular seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah.
Isu berkenaan bertambah serius selepas terdapatnya beberapa pihak yang terus menabur fitnah dengan menuduh KKM mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk membayar Siti dan Jamal bagi persembahan itu.
Siti Nurhaliza tampil beri penjelasan, mahu hentikan isu ini
Cakna mengenai isu terbabit, pelantun lagu ‘Kesilapanku, Keegoaanmu’ itu akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung perkara tersebut agar ia dihentikan.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Siti berkata, beliau diundang ke majlis terbabit sebagai tetamu dan bukannya atas kapasiti artis yang membuat persembahan.
“Tadi saya tulis dan muat naik di instagram story. Tapi bila melarat-larat pula. Saya anggap ini bukan hal kecil sebab berita keluar, portal keluar, sosial media keluar, kemudian anda tulis status pula, tulis komen, bertebaran dan ini harus saya hentikan.
“Anda nak menuding jari atau menzahirkan rasa, pandangan atau sesuatu berkaitan mana-mana badan, jabatan dan sebagainya, jangan kaitkan dan bangkitkan sesuatu yang akhirnya jadi fitnah dan saya pula antara yang diperkatakan dan jadi mangsa tohmahan secara tak langsung,” katanya.
Siti Nurhaliza rela hati buat persembahan tanpa minta bayaran
Menurutnya, beliau dengan rela hati membuat persembahan tanpa meminta sebarang bayaran dengan niat untuk menghiburkan semua tetamu pada majlis berkenaan.
“Malah saya turut ke majlis-majlis lain dan kebanyakannya tahu saya akan menyanyi jika keadaan mengizinkan.
“Kepada semua yang menyampaikan hal palsu ini, baik media, individu, netizen, saya berharap agar anda sedar akan implikasi fitnah kepada seseorang.
“Pastikan sesuatu yang sahih baru menulis kerana fitnah, komen, petikan nama, gambar, ulasan yang tidak benar ini memberikan implikasi yang sangat tidak baik, walhal saya seikhlas hati menghiburkan tanpa bayaran pada majlis yang diperkatakan itu,” katanya lagi.
Dr Zulkefly akan beri kenyataan
Dalam pada itu, memetik MalaysiaKini, seorang pembantu Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa menteri itu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan dalam jangka masa terdekat ini.
Selain itu, Jamal turut menyatakan bahawa beliau bersetuju membuat persembahan sebagai memenuhi jemputan daripada ketua setiausaha kementerian itu yang juga sahabatnya.
Penyanyi lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’ itu berkata dia tidak menetapkan bayaran tetapi bersetuju membuat persembahan dengan sedikit sagu hati sebagai tanda penghargaan.
“Disebabkan saya ini kawan kepada datuk KSU, jadi saya tak kira berapa dia nak bagi, saya ambil. Tak mahal pun, beberapa ribu (Ringgit) sahaja.
“Jadi besar hati saya dapat menghiburkan PMX dan dapat hiburkan warga-warga KKM,” kata Jamal.


![Cari Ikan Dalam Longkang, Gelagat Anak Sempat ‘Nego’ Dengan Ayah Elak Kena Rotan Bikin Dekah [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)
![Influencer Buat Review Kelaut, Owner Kedai Makan Terpaksa Sambung Buat Review Makanan Sendiri [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)

